KEPALA BATAS - Kenyataan terbuka Ahli Parlimen Pandan,Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) disifatkan sebagai berisiko menjejaskan kestabilan parti dan kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Zainuddin Mohamed berkata, kenyataan sedemikian boleh mencetus kekeliruan dalam kalangan rakyat serta memberi ruang kepada pihak lawan untuk mencetuskan naratif kelemahan dalaman parti.
"Saya menghargai kebimbangan yang dizahirkan oleh YB Rafizi. Reformasi institusi memang menjadi teras perjuangan PKR sejak awal.
"Namun, sebarang kenyataan terbuka terhadap keputusan kerajaan seharusnya ditangani secara berhemah dengan disiplin organisasi dan kebijaksanaan strategi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Zainuddin berkata, pandangan kritikal wajar disalurkan melalui saluran dalaman parti dan platform Parlimen bagi memastikan agenda reformasi terus dilaksana tanpa menggugat kestabilan kerajaan atau keyakinan rakyat.
Tambahnya, sebagai parti reformasi yang menjunjung kebebasan bersuara, PKR juga terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama, disiplin organisasi dan solidariti dalam membuat keputusan.
Beliau menegaskan PKR kini bukan sahaja menjadi simbol perjuangan reformasi, malah tiang utama kestabilan nasional.
Justeru, beliau meminta agar semua pimpinan dan anggota parti kembali kepada semangat kolektif, memperkukuh solidariti, mengutamakan dialog dalaman, serta menyampaikan kritikan secara konstruktif dan bertanggungjawab.
"Kepimpinan PKR, termasuk Perdana Menteri, kekal komited dalam melaksanakan reformasi secara berperingkat, berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
"Kejayaan reformasi menuntut bukan sahaja komitmen, tetapi juga kesatuan dalam kalangan kita sendiri,"katanya lagi.
Pada Isnin, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Rafizi sebelum ini berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.