Jelajah HIRUK: Rafizi ibarat gali kubur sendiri

SHAH ALAM - Kempen pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Timbalan Presiden parti yang digerakkan Datuk Seri Rafizi Ramli melalui siri Jelajah HIRUK seluruh negara ibarat menggali kubur sendiri, selain memberi bola tanggung kepada seteru politik.

Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, isu-isu berbangkit serta kritikan yang dibuat Rafizi sepanjang kempen tidak membawa kesan negatif kepada pencabar beliau, Nurul Izzah Anwar sebaliknya menjejaskan dirinya sendiri dan juga parti.

**media[3135489]**

Ini kerana menurutnya, tindakan Rafizi yang secara terbuka mengkritik kepimpinan parti juga jelas membuka pekung dalaman PKR, seterusnya memberi ruang besar kepada pihak lawan untuk menyerang.

“Tapi saya faham kenapa beliau berbuat demikian kerana kekecewaan beliau yang tidak mendapat sokongan daripada parti seolah-olah parti mahu beliau ditewaskan dan memberi sokongan padu kepada Nurul Izzah, sedangkan Izzah hanyalah Naib Presiden yang dilantik bukan bertanding.

“Ini yang dikatakan kekecewaan Rafizi, yang dianggap berputus arang (berkerat rotan)...maknanya kalau tewas, beliau mungkin tak keluar PKR, tapi mungkin akan sunyi sepi, senyap dan tidak aktif dalam PKR selepas pemilihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR semakin hangat dan pertandingan antara Rafizi selaku penyandang dan pencabarnya, Nurul Izzah menyaksikan kedua-dua calon melancarkan kempen dengan pendekatan tersendiri.

Rafizi melalui Jelajah HIRUK yang berakhir di Johor Bahru pada Selasa dilihat berani dan lantang dalam membangkitkan kelemahan PKR termasuk beberapa kenyataan dan dakwaan ‘panas’ melibatkan dalaman parti.

Tindakan Rafizi disifatkan telah menggoncang rumah tangga PKR, apatah lagi dengan dakwaan berat bahawa wujud gerakan politik tikam belakang yang turut dikaitkan dengan kepincangan dalam sistem pemilihan.

Perkembangan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli parti yang kurang senang dengan sikap Rafizi sehingga melabelnya sebagai ‘mulut longkang’.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi itu dalam reaksi balasnya mengingatkan sumbangannya kepada PKR ketika menjadi pembangkang bahawa ‘mulut longkang’ tersebut jugalah yang mendedahkan skandal demi skandal bagi membuka mata rakyat.

Mengulas lanjut, Azmi menyifatkan segala kritikan disuarakan Rafizi bukan hanya semata-mata menyentuh kelemahan parti, sebaliknya juga sebagai kritikan tersirat terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain pencabarnya, Nurul Izzah.

“Tapi saya hairan kenapa tidak mahu mengkritik terus kepada Nurul Izzah, adakah Rafizi memikirkan beliau seorang menteri, timbalan presiden, dikatakan tidak sama standard, status Nurul Izzah sewaktu beliau mengkritik secara tidak langsung Presiden PKR.

“Jadi ini yang dikatakan kempen hiruk- pikuk Rafizi itu akan membuka pekung parti sendiri,” ujar beliau.

Ditanya PKR bakal ‘hilang taring’ sekiranya Rafizi tidak lagi aktif dalam gerakan parti jika kalah dalam pemilihan, Azmi sebaliknya berpandangan PKR akan lebih kuat sekiranya Rafizi ‘senyap’.

Ia kerana katanya, sebagai anggota kerajaan, Rafizi dilihat sebagai sasaran yang mudah untuk dikritik, apatah lagi dengan gelaran ‘raja formula’ yang kini tidak lagi membawa impak besar.

“Memang betul Rafizi dianggap sebagai orang penting dalam PKR, tetapi itu semasa menjadi pembangkang,” katanya.

**media[3135491]**

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, Rafizi dan PKR sendiri bakal akan menerima kesan positif dan juga negatif daripada Jelajah HIRUK yang dilakukan.

Kesan positifnya termasuk menyaksikan PKR mempunyai tokoh pemimpin yang berintegriti pada mata anggota parti apabila Rafizi lantang menentang kartel dan puak dalam PKR.

“Negatifnya ialah ikatan dalaman parti dari segi kesetiaan diragui kerana sifat ‘kiasu’ Rafizi yang lantang dan berani.

“Ketidakstabilan dalaman PKR mungkin tidak sihat untuk gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan...patah di dalam maka remuk di luar,” ujarnya.