Rafizi dedah diminta tanding di Machang, Akmal Nasir pula di Pengkalan Chepa

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa beliau menerima desakan daripada beberapa pihak agar bertanding di kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Rafizi, desakan itu timbul susulan pandangan sesetengah pihak yang mempersoalkan kekuatan beliau sebagai pemimpin parti, sehingga mencadangkan agar beliau meninggalkan kerusi di Parlimen Pandan dan mencuba nasib di kawasan yang dianggap ‘panas’.

"Kebelakangan ini, ada tiga empat orang kata kepada saya, ‘kalau kau kuat sangat, keluar daripada kerusi Parlimen dan sila bertanding di Machang’,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Hiruk di sini, pada malam Selasa.

Rafizi bagaimanapun membidas cadangan tersebut, menyifatkan ia sebagai tidak adil terhadap pimpinan yang telah bekerja keras mempertahankan kerusi-kerusi sukar dan membina kekuatan parti di kawasan masing-masing.

“Saya mulakan di Parlimen Pandan yang merupakan kerusi kuat Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah tumbang, sehingga ia menjadi kerusi kuat Pakatan Harapan.

"Tapi sekarang, kawasan yang kamu sendiri tidak mampu kuatkan, kamu suruh orang lain pergi bertanding," katanya.

Tambahnya, perkara sama juga akan berlaku kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

"Pada tahun 2014, Akmal tidak cakap hendak balik Johor Bahru. Dia buat kerja gila lawan Tan Sri Shahrir Samad yang menang lawan UMNO guna lambang kunci di Parlimen Johor Bahru.

"Sampai sekarang saya tidak sangka sangat kita (PKR) boleh menang sehingga Johor Bahru menjadi kerusi kuat Pakatan Harapan.

"Sekarang ini, bila ada orang terkedek-kedek cakap hendak jadi Ahli Parlimen Johor Bahru, esok Akmal akan dihantar ke Pengkalan Chepa. Mana boleh begitu," katanya.