'Tokoh muda dari Perak sibuk mencatur' - Rafizi

IPOH - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan pemilihan parti bagi penggal 2025-2028 kali ini telah dicatur oleh individu tertentu.

Menurut beliau, individu tersebut memainkan peranan penting menyusun gerakan menjelang Kongres Nasional Keadilan yang bermula Jumaat ini.

Calon timbalan presiden itu bagaimanapun tidak mendedahkan nama individu tersebut.

"Perak ini memainkan peranan penting mencatur dalam pemilihan kali ini. Ada tokoh-tokoh besar yang muda dari Perak yang sibuk mencatur.

"Saudara dan saudari pun tahu, saya tidak perlu sebut nama. Pandai-pandai la mereka catur sana, catur sini," katanya ketika berucap pada Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini pada Ahad.

Menjawab tindakan tidak mencalonkan individu untuk mencabar jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Rafizi berkata, pasukannya memilih menghormati nasihat awal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta tiada pertandingan diadakan di peringkat atas.

"Jadi ada yang dalam AMK bertanya mahu lawan tetapi Presiden sudah nasihat, kita hormatlah. Kamil (Muhammad Kamil Abdul Munim) pun Setiausaha Politik Presiden.

"Jadi bagilah peluang kepada beliau sebab itu kita lihat Arshad (Arshad Hassni) hanya bertanding Timbalan Ketua AMK," katanya.

Jelas beliau, tindakan itu bukanlah disebabkan tidak berani sebaliknya lebih kepada adab menghormati saranan Presiden.