SEREMBAN – Meskipun tewas dalam percubaan kali pertama bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya lalu di Parlimen Seremban (P128), namun pesara Bujang Abu, 67, sekali lagi mencuba nasib.
Bezanya kali ini beliau memilih untuk bertanding di kerusi Dun Sikamat (N13) berdepan saingan dengan penyandang Aminuddin Harun ( PKR), Syamsul Amri Ismail (BN) dan Rahim Yusof (Pas).
Menurutnya, sejak bersara pada tahun 2007, beliau telah pun membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya demi mencari kepuasan.
“Kali pertama saya cuba bertanding pada PRU12 di Dun Sikamat, tapi borang saya ditolak kerana ada masalah teknikal.
“Saya pilih Sikamat kerana saya juga tinggal di kawasan ini. Saya bersedia berkhidmat 24 jam kerana saya sudah tiada isteri dan anak-anak pula sudah bekerja, jadi saya mempunyai banyak masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghantar borang penamaan calon di Dewan Serbaguna Wisma Negeri di sini, semalam.
Ditanya berkemungkinan ada pihak yang menajanya, Bujang memberitahu semuanya atas tanggungannya sendiri, malah tidak kisah jika wang depositnya hilang.
Mengenai misinya pula, beliau sekadar memberitahu bersedia berkhidmat untuk rakyat dan tidak memerlukan sebarang kempen seperti dilakukan oleh calon lain.
“Tak perlu manifesto ini, yang penting jika menang saya boleh kerja 24 jam. Lagipun tiada sesiapa yang memaksa saya bertanding, semuanya atas kerelaan sendiri,” katanya.
Pada PRU13, Bujang yang berdepan pertembungan lima penjuru dengan calon BN, DAP dan dua lagi calon bebas hanya memperoleh 83 undi.