SHAH ALAM - Tindakan Pas mengumumkan penyertaan bekas pemimpin Wanita UMNO menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai taktik politik terdesak.
Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, tindakan itu hanya bertujuan mengalihkan tumpuan rakyat.
Bagaimanapun katanya, meskipun cuba diganggu dengan permainan politik lawan, namun ia dilihat gagal menggugat fokus dan semangat jentera Wanita UMNO.
"Jentera parti terus mempergiat gerak kerja dan memperluas capaian kepada pengundi terutama ketika kempen kini berada di kemuncaknya.
“Situasi ini tidak melemahkan semangat juang Wanita UMNO, malah ia menyemarakkan lagi iltizam dan memperkukuh kesepaduan jentera kami, khususnya di DUN Ayer Kuning,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO Selangor menyeru seluruh pengundi di Ayer Kuning agar terus memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) demi kestabilan politik dan masa depan lebih terjamin.
“Kami yakin pengundi di sini cukup matang serta bijak menilai antara gimik politik dengan perjuangan sebenar untuk rakyat,” katanya.
Pas pada Sabtu mengumumkan penyertaan bekas ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin daripada UMNO untuk menyertai parti itu.
Borang keahlian Wan Norashikin, 52, diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, di sini.