JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse akan menggunakan saluran parti untuk mengemukakan rayuan berkaitan keputusan pemilihan Ketua Cabang Tebrau pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Naib Pengerusi PKR Johor itu, memaklumkan perkara terbabit selepas dua hari pemilihan Cabang Tebrau berlangsung.
"Kami sentiasa ada. Sentiasa sedia membantu warga Tebrau.
"Kejayaan bukanlah penamat. Kegagalan bukanlah penghujung. Yang penting adalah keberanian untuk terus melangkah.’ #KerjaTetapKerja #LawanTetapLawan.
"Ya. Kita akan membuat rayuan atau bantahan," tulisnya dalam muat naik di Facebook pada Selasa.
Ketika dihubungi Sinar Harian, bekas Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor itu, mengesahkan perkara terbabit namun enggan mengulas lanjut.
Pada Ahad, pemilihan PKR Cabang Tebrau menyaksikan keputusan luar jangka apabila dua Ahli Parlimen iaitu Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau) dan R Yuneswaran (Segamat), tewas kepada pencabar mereka, M Prakash.
Prakash, yang merupakan ahli biasa parti, meraih 690 undi sekali gus menewaskan Yuneswaran yang memperoleh 589 undi dan Jimmy Puah yang meraih 560 undi.
Kekalahan itu sekali gus menggagalkan usaha Yuneswaran mempertahankan jawatan yang disandangnya sebelum ini.
Daripada keseluruhan 2,276 ahli yang layak mengundi, sebanyak 1,840 kertas undi telah dikeluarkan bagi pemilihan cabang.