BIDOR - Seramai 24 pengundi di Pusat Mengundi Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pusat pengundian awal di IPD Tapah tetap ditutup secara rasmi jam 12 tengah hari.
Menurutnya, setakat jam 9 pagi, peratusan keluar mengundi bagi undi awal PRK DUN Ayer Kuning adalah sebanyak 22.8 peratus.
“Berdasarkan data terbaharu, seramai 500 pengundi akan mengundi awal iaitu 24 di IPD Tapah manakala 476 lagi di Batalion 3 PGA.
“Sepanjang proses PRK, SPR menerima 27 laporan pelbagai kesalahan pilihan raya, empat daripadanya laporan polis, tetapi saya dimaklumkan ia hanya kes-kes kecil, tak serius dan semuanya sudah diambil tindakan.
“Kita menjangkakan semua akan keluar mengundi awal atau mungkin lebih 90 peratus. Kalau untuk hari pengundian pada 26 April, SPR jangka lebih 70 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 PGA di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, pengundi membabitkan pegawai, anggota polis serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena PRK DUN Ayer Kuning.
Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK N48 DUN terbabit, Mohammad Shahir Mohammad memaklumkan, proses pengundian melibatkan tiga saluran dengan dua pusat mengundi dibuka.
Sementara itu, Ramlan turut mengingatkan pengundi untuk keluar awal bagi membuang undi memandangkan cuaca di sekitar DUN Ayer Kuning tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Tambah beliau, pihaknya berharap semua pihak tidak kira pengundi, calon, jentera parti dan petugas dapat memainkan peranan sebaik mungkin.
“Keluar awal tunai tanggungjawab masing-masing agar proses pengundian berjalan lancar, tertib dan tenteram.
“Kita cuba elakkan sebarang provokasi (sepanjang pilihan raya),” ujarnya lagi.