KUANTAN - Kekalahan nama-nama besar dalam pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini satu isyarat jelas kepada pemimpin yang sedang memegang jawatan dalam kerajaan Pusat atau negeri supaya kembali kepada akar umbi.
Bekas Naib Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Kamarul Hatta Mohamed Ali berkata, pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan kini dilihat jarang turun padang mendekati akar umbi, sebaliknya lebih selesa berada di atas.
Beliau berkata, kerja-kerja parti seolah-olah diserahkan sepenuhnya kepada akar umbi dan situasi sebegitu tidak berlaku ketika PKR menjadi pembangkang sebelum ini.
“Tidak kisahlah mereka menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), akar umbi dan kerja parti tidak boleh ditinggalkan.
“Kena seimbangkan tanggungjawab terhadap jawatan dipegang dan kerja parti di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Sebagai orang lama dalam PKR, Kamarul Hatta tidak menolak bahawa keputusan kali ini mewujudkan agenda perubahan dalam parti.
Sementara itu, Mohd Zukri Aksah yang menang menewaskan ADUN Semambu, Chan Chun Kuang untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota menolak wujud cubaan menjatuhkan pemimpin daripada kem tertentu atau berlaku manipulasi sistem pengundian sebagaimana digembar-gemburkan.
“Pada saya, ia lebih kepada isyarat akar umbi kepada pimpinan di peringkat cabang itu sendiri yang mungkin ‘terleka’ dengan jawatan selepas menjadi kerajaan hingga terlupa tanggungjawab parti di akar umbi,” katanya.