Akmal Nasir dahului undian Ketua Cabang PKR Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendahului saingan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru selepas memperoleh 949 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 5.27 petang pada Ahad.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 1,789 ahli cabang berdaftar sebagai pengundi dengan keputusan rasmi masih tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berdepan saingan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail bagi jawatan Ketua Cabang Johor Bahru.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Akmal memaklumkan bahawa pihaknya telah melantik Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi mengendalikan proses pemilihan di semua lokasi mengundi yang telah dimaklumkan kepada JPP.

“Setiap KTM telah merekodkan undian melalui Borang 14 yang diusahakan pasukan kami sebagai dokumen sah di sisi undang-undang.

“Alhamdulillah, berdasarkan rekod tersebut, jumlah undian untuk saya sebagai Ketua Cabang adalah sebanyak 949 undian.

“Ini merupakan angka minimum dan tidak termasuk undian individu yang mungkin menaikkan jumlah keseluruhan undi,” katanya.

Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menjalankan amanah dalam proses pemilihan itu.

“Setiap undi disertakan bukti tangkap layar serta tandatangan pengesahan, demi menjamin integriti dan ketelusan proses pemilihan. Terima kasih kepada semua anggota dan semoga suara akar umbi dihormati,” ujarnya.