Manifesto BN, janji perkara yang boleh dibuat sahaja - Saarani

TAPAH - Manifesto yang dibentangkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mampu dilaksanakan dalam tempoh penggal yang ada.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, saranan telah diberikan kepada calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir agar tidak menjanjikan sesuatu yang melangkaui kemampuan kerajaan.

"Saya beritahu dia, kalau nak buat, jangan over (melebih-lebih), hanya boleh berjanji benda yang boleh kita buat.

"Dia pun ada tiga tahun sahaja sebelum pilihan raya umum (Pilihan Raya Umum ke 16).

"Bagi saya, perkara yang diumumkan tadi adalah perkara baik untuk beliau tawarkan khidmat kepada pengundi-pengundi di kawasan," katanya kepada pemberita merasmikan Program Sejati Madani Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang di Dewan Orang Ramai Kampung Kenangan dekat Bidor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, walaupun secara dasarnya manifesto tersebut ditentukan peringkat negeri, namun lahir daripada kefahaman mendalam calon terhadap keperluan masyarakat setempat yang diwakili.

“Saya katakan kepada calon, dia perlu juga ada hasrat, keinginan dan visi sendiri.

"Sebagai YB (Yang Berhormat), walaupun dasar ditentukan kerajaan negeri, tetapi sebagai individu, dia boleh beri janji atau harapan kepada pengundi," katanya.

Pada Ahad, Mohamad Yusri menggariskan beberapa inisiatif dalam manifestonya yang berasaskan tiga tekad utama dan tujuh tawaran antaranya mewujudkan ekonomi tempatan yang makmur melalui pemberian geran khas kepada usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, sebanyak 200 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) negeri ini yang menyertai Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) mula menunjukkan hasil memberangsangkan.

Katanya, antara projek yang dijalankan JPKK terlibat adalah pembelian bot, pembinaan chalet, ternakan ikan keli dan sewa kios.

"Ada juga yang membina kolam pancing dan berjaya mendapat semula modal RM100,000 dalam tempoh dua bulan. Ini membuktikan bahawa apabila diberikan kepercayaan, mereka mampu mengurus dan menjana hasil...asalkan ada pulangan semula,” katanya.

Beliau, menggalakkan JPKK untuk menubuhkan koperasi supaya lebih banyak faedah boleh diperoleh.

"Sebelum ini JPKK hanya menerima peruntukan RM5,000 setahun bagi tujuan pentadbiran, namun kini mereka diberikan peruntukan yang lebih besar untuk melaksanakan projek ekonomi komuniti.

"Melalui koperasi, pendapatan boleh dijana dan ahli turut mendapat dividen," katanya.