Rodziah pertikai keputusan pemilihan Cabang Shah Alam, tuntut penjelasan JPP

SHAH ALAM – Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Rodziah Ismail mempersoalkan keputusan pemilihan Cabang Shah Alam yang berlangsung Sabtu lalu, yang disifatkannya sebagai “pelik”.

Menurut Rodziah, beliau lewat memberikan respons kerana keputusan pemilihan diumumkan lewat malam, dan pada Subuh Ahad beliau telah berlepas ke Sandakan dan Kota Kinabalu bagi menghadiri beberapa program yang dijadualkan lebih awal.

Namun selepas pulang dari Sabah, beliau mendapati keputusan yang diumumkan sangat janggal apabila hanya beliau tewas daripada keseluruhan pasukan, dan lebih mengejutkan apabila memperoleh jumlah undi terendah berbanding calon-calon lain dalam pasukannya.

“Sebagai mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Shah Alam yang dikenali, dan berdasarkan pemilihan penggal lepas, saya memperoleh jumlah undi lebih tinggi daripada pasukan saya. Maka keputusan kali ini sangat pelik dan menimbulkan persoalan,” tegas Rodziah dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa terdapat beberapa isu teknikal sepanjang proses pengundian, antaranya undi kepada Ketua Cabang tidak dicatatkan, walaupun sistem tidak membenarkan pengundi beralih ke skrin Timbalan Ketua Cabang tanpa terlebih dahulu mengundi Ketua Cabang.

Selain itu, semasa proses pengundian berlangsung, terdapat pengundi yang terpaksa keluar daripada sistem dan memuat turun semula aplikasi ADIL untuk kembali mengundi, sesuatu yang menurut beliau tidak sepatutnya berlaku dan tidak berkaitan dengan masalah capaian internet.

Rodziah memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan telah menjalankan post-mortem bersama pasukannya bagi menilai kemungkinan punca keputusan luar jangka itu.

Beliau turut menggesa JPP agar memberi penjelasan segera dan mencadangkan supaya pemilihan di negeri-negeri lain yang dijadual berlangsung hujung minggu ini ditangguhkan sehingga isu-isu teknikal tersebut dapat disiasat sepenuhnya.

“Kalah menang adalah adat pertandingan. Kalau kalah kerana tiada kekuatan, itu logik. Tapi kalau kekalahan berlaku kerana sebab lain, kita perlukan ketelusan untuk faham.

"Apa pun, saya telah melalui proses, bantahan telah saya kemukakan, post-mortem telah saya buat, kini saya menunggu JPP untuk memberikan penjelasan," ujarnya.

Sabtu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, menang sebagai Ketua Cabang Shah Alam yang baharu selepas mengalahkan Rodziah selaku penyandangnya.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik meraih 1,213 undi, manakala Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang akur dengan 899 undi.

Berdasarkan laman sesawang Pemilihan 2025 PKR, seorang calon lagi, Noryzal Zainal Abidin, hanya meraih 513 undi.