TAPAH - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Pas masih mengulangi naratif politik lapuk dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendekatan parti itu yang seboleh mungkin memberi persepsi negatif terhadap usaha kerajaan adalah tidak seiring dengan perkembangan teknologi dan arus pemikiran rakyat masa kini.
“Kita sekarang dalam zaman AI (kecerdasan buatan), orang boleh petik sahaja dan dapat semua maklumat.
"Tetapi mereka (Pas) masih ulang-ulang skrip lama, termasuk pemimpin mereka yang kononnya tak tahu apa pencapaian kerajaan. Itu bukan soal tak tahu, itu soal kebodohan buatan," katanya ketika ditemui dalam majlis Jamuan Aidilfitri Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah di sini pada Selasa.
**media[3086759]**
Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut membidas dakwaan kononnya rakyat mahu menukar kerajaan.
Katanya, naratif itu hanya permainan psikologi pemimpin Pas yang sering terperangkap dalam retorik sendiri.
“Tak ada orang waras nak tukar kerajaan dalam keadaan kerajaan sekarang berjaya sediakan kemudahan dan jaga kebajikan rakyat. Orang gila pun tak mahu tukar kerajaan yang baik," katanya.
Menurut beliau, dalam kempen PRK ini, fokus utama Amanah memastikan sokongan ahli parti dapat diterjemahkan kepada undi buat calon BN.
Katanya, tiga daripada lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dipertanggungjawab kepada Amanah sebelum ini dimenangi oleh parti itu ketika Pilihan Raya Umum lalu.
"Ini menjadikan ia kawasan strategik untuk memastikan peralihan undi berlaku secara berkesan," katanya.
Lima PDM yang dipertanggungjawabkan kepada Amanah ialah Tanjung Keramat, Ayer Kuning, Sungai Kroh, Ayer Kuning Selatan dan Batu Tiga.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).