Saya akan bantu kempen di PRK Ayer Kuning - Razman

IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria menganggap penggantungannya daripada menghadiri persidangan DUN Perak selama enam bulan memberi peluang kepadanya membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Menurutnya, tindakan yang dikenakan itu dianggap satu hikmah untuk memberi sepenuh masa membantu memenangkan calon PN, Abd Muhaimin Malek pada PRK berkenaan.

Katanya, keputusan dibuat DUN Perak itu juga akan dijadikan modal kempen sepanjang PRK berkenaan bagi membuka mata pengundi tentang apa yang berlaku.

"Kesempatan ini akan saya gunakan untuk membantu kempen dan menceritakan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku.

"Keputusan ini pastinya akan memberi kelebihan kepada calon PN di Ayer Kuning dan meningkatkan sokongan lebih kuat kepada PN," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Razman mengakui kecewa dengan keputusan penggantungan yang dikenakan terhadapnya dan menganggapnya sebagai tidak adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu bagaimanapun akur dengan keputusan tersebut.

Terdahulu DUN Perak meluluskan usul menggantung Razman daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.

Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol itu dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.

Keputusan penggantungan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 14 April 2025.