SHAH ALAM – Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri menegaskan kepentingan rakyat negeri ini untuk mengundi di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut menggesa mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor supaya segera memindahkan alamat undi ke negeri ini.
"Orang Selangor perlu mengundi di Selangor kerana fokus kita sekarang adalah untuk menang di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama media dan Program Iftar Ramadan di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Selangor, pada Rabu.
Menurutnya, rakyat yang masih berdaftar di negeri lain boleh mengemas kini alamat berdasarkan tempat tinggal semasa dengan membawa bil utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Air Selangor ke pejabat pos bagi proses pemindahan mengundi.
"Kawasan seperti Shah Alam, Sungai Buloh, Bangi, Semenyih dan Sepang sangat kritikal untuk kita menang," ujarnya.
Ab Halim berkata, langkah itu diyakini dapat meningkatkan jumlah pengundi PN di Selangor, terutama di kawasan majoriti Melayu dan pinggir bandar.
"Jika pengundi Selangor ramai mengundi di sini, Insya-ALLAH kita mampu mengambil alih kerajaan negeri," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pas memperkenalkan slogan ‘Ke Arah Selangor Lebih Baik’ serta menampilkan barisan pemimpin profesional berkaliber dalam usaha menarik sokongan pengundi di negeri ini.
"Kami dan PN mempunyai pakar ekonomi, ahli undang-undang serta tenaga muda yang komited untuk mentadbir Selangor dengan lebih progresif," katanya.