PRK Ayer Kuning: Pemuda UMNO kemuka calon dekat dengan rakyat

ALOR SETAR – Pemuda UMNO telah mencadangkan seorang calon yang diyakini dekat di hati rakyat bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, nama calon itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti dan keputusan akhir akan dibuat oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta Biro Politik UMNO.

“Kami telah mengemukakan satu calon daripada Pemuda UMNO dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti untuk membuat keputusan terbaik.

“Bagi kami, calon ini adalah yang terbaik dan apa sahaja keputusan yang dibuat di peringkat pusat, kami akan memberi sokongan penuh serta bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya ketika ditemui dalam program Ziarah Kasih Ketua Pemuda UMNO di Masjid Zahir, di sini, pada petang Isnin.

Menurut Dr Muhamad Akmal, pemilihan calon yang dekat dengan rakyat adalah strategi utama BN, seperti yang terbukti pada PRK Mahkota sebelum ini.

“Dalam PRK Mahkota, ramai tidak menyangka BN mampu menang, tetapi apabila kita letak calon tempatan yang sudah lama berkhidmat kepada masyarakat, majoriti kemenangan melonjak daripada 5,000 kepada hampir 20,000 undi.

“Kami tidak mahu terlalu yakin di Ayer Kuning, tetapi kami percaya rakyat akan menyambut baik calon yang dipilih,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sayap lain seperti Wanita dan Puteri UMNO turut mengemukakan calon masing-masing, namun yakin kepimpinan parti akan membuat keputusan yang terbaik.

“Kami percaya kepada keputusan parti. Seperti yang kita lihat sebelum ini, Pemuda UMNO sentiasa memberikan hasil yang baik, dan kami yakin dengan calon yang kami cadangkan,” katanya lagi.

**media[3040041]**

Mengulas mengenai cabaran PRK Ayer Kuning, Dr Muhamad Akmal berkata landskap politik yang tidak menentu memerlukan BN bekerja lebih keras untuk mengekalkan kerusi tersebut.

Menurutnya, walaupun BN menang di Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti tersebut total tidak boleh mengambil mudah sebarang pilihan raya.

“Kali ini, strategi kita tetap sama, iaitu meletakkan calon yang benar-benar bekerja untuk rakyat. Itulah keutamaan kami, dan Insya-Allah, ia juga akan menjadi pilihan pengundi di Ayer Kuning,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini memaklumkan bahawa calon BN bagi PRK Ayer Kuning akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.

Menurut Zahid, calon berkenaan dipilih daripada senarai enam nama yang dikemukakan oleh UMNO Tapah dengan cadangan daripada Jawatankuasa Perhubungan Negeri.

Hari mengundi bagi PRK Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April, manakala penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai perlawanan bola sepak di George Town, Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam yang juga Ketua UMNO Tapah sejak 2018, berjaya memenangi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.