Pemilihan Wanita PKR: Rodziah sah lawan Menteri Pendidikan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, mengesahkan pencalonannya bagi jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk sesi 2025-2028 sekali gus mencabar penyandang jawatan itu yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkenaan mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan parti akan datang ketika berucap dalam majlis sempena Hari Wanita Sedunia di Ampang pada Isnin.

"Bersandarkan komitmen dan pengalaman lebih 20 tahun memberdaya wanita, saya optimis bahawa kita mampu membangkitkan daya tahan, saing dan juang Wanita PKR demi mengukuhkan agenda perubahan di peringkat nasional.

“Marilah kita semua bekerja keras dalam satu pasukan untuk memastikan Wanita PKR kembali bersemangat, berpadu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang,” kata beliau.

Sebelum ini, Rodziah dilaporkan kalah tipis kepada Fadhlina dengan perbezaan hanya 32 undi pada pemilihan 2022.

Menerusi pemilihan tersebut, Fadhlina memperoleh 18,923 undi berbanding Rodziah yang sekadar mendapat 18,891 undi.

PKR dijadual mengadakan pemilihan di peringkat bahagian bermula dari 11 hingga 20 April manakala bagi kepimpinan pusat pula akan berlangsung pada 24 Mei depan.

Tambah Rodziah, dengan pembentukan saf kompeten, beliau mampu membina legasi besar yang tidak akan dilupakan.

“Doakan kejayaan kita. Wanita membina legasi, berpadu, bangkit dan berjaya!” katanya.