TAWAU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tekad untuk menawan semua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tawau dan Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat di kedua-dua kawasan parlimen itu perlu menyokong gabungan berkenaan demi memastikan tiada kawasan DUN yang tercicir daripada pembelaan wakil rakyatnya.
Katanya, kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinannya mempunyai hala tuju yang jelas dan agenda besar bagi membangunkan Sabah termasuk di Tawau dan Kalabakan demi kepentingan rakyat negeri ini.
"Pada PRN nanti mesti undi GRS kerana banyak pencapaian yang kita berjaya lakukan sepanjang empat tahun memerintah negeri ini berbanding kerajaan sebelum ini.
"Jadi saya minta rakyat di DUN Merotai dan kawasan DUN lain di Kalabakan serta Tawau pastikan semua DUN di sini dimenangi GRS.
"Kita ada agenda besar untuk Sabah, kita ada hala tuju, berbanding kerajaan sebelum ini yang tiada hala tuju, hanya berbohong dan buat fitnah di sana sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anak Merotai anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Merotai, di sini pada Ahad.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS memberi jaminan bahawa gabungan itu akan kekal membentuk kerajaan negeri selepas PRN17 nanti berikutan pencapaiannya dalam membawa perubahan kepada Sabah selepas lebih empat tahun memerintah.
Sehubungan itu, beliau mahu semua kawasan DUN termasuk Merotai diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kerajaan agar usaha membawa pembangunan di kawasan itu lebih berjalan lancar.
"Percayalah dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan.
"Kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan berhubung isu bekalan air akan dapat diselesaikan pada tahun ini setelah semua kerja menaik taraf loji air dilaksanakan.
"Isu air ini saya bagi jaminan kita dapat selesaikan pada tahun ini. Kita ada peruntukan, loji air kita akan dinaik taraf dan dibaiki.
"Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini juga kerana kita ada perancangan, kita ada usaha, bukan kita cakap kosong.
"Kalau cakap kosong seperti pembangkang saya rasa itu tidak perlu kita beri perhatian. Mereka tidak boleh buat apa-apa, kita sudah beri peluang kepada mereka, tapi apa mereka buat.
"Mereka (pembangkang) umpama tin kosong, memang besar bunyinya kalau diketuk. Tapi kita empat tahun memerintah sudah banyak kita capai," katanya.