'Mungkin Pemuda Amanah hanya layak dialog dengan pasu bunga' - Pemuda Pas

SHAH ALAM - Pemuda Pas secara sinis berpandangan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin lebih layak berdialog dengan pasu bunga berbanding mengajak mereka berdialog mengenai isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang sewajarnya dipertahankan semua pihak.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tidak wajar Pemuda Amanah bersikap diam apabila rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan agama Islam, namun tiba-tiba mengajak kumpulan mempertahankan kepentingan segmen itu untuk berdebat.

Jelasnya, Pemuda Pas mempersilakan Pemuda Amanah meletakkan pasu bunga dalam sesi program dialog mereka kelak dan bentangkan laporan sesi dialog itu pada Konvensyen Tahunan parti mereka nanti.

"Dimaklumkan Pemuda Amanah akan letak pasu bunga, kami maklum silakan. Sebab mungkin itu yang layak bagi Pemuda Amanah untuk berdialog dengan pasu bunga.

"Setelah pelbagai siri rakan sekutu mereka acap kali mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama, mereka diam seribu bahasa tetapi tiba-tiba ajak kumpulan menegur isu ini untuk berdebat.

"Setelah berdialog dengan pasu bunga tersebut, boleh masukkannya dalam laporan harian aktiviti Pemuda Amanah yang bakal dibentang dalam konvensyen tahunan parti berkenaan.

"Senang rakyat hendak tahu kewujudan mereka. Ini sebab mereka sepi bila hendak cakap mengenai isu rakyat dan (pertahan) sensitiviti umat Islam," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Pemuda Amanah mencabar Pemuda Pas untuk mengadakan sesi dialog bagi menyelesaikan segala masalah dihadapi oleh kedua parti politik tersebut.

Sekretariatnya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin mendakwa, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada Pemuda Pas berkenaan undangan untuk berdialog dan membincangkan mengenai tuduhan berat yang dilontarkan terhadap Amanah.

Menurutnya, pihak sekretariat Pemuda Amanah telah memberi undangan dengan menghantar sendiri e-mel dan surat secara fizikal ke Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut.

“Sudah terlalu banyak tohmahan berat dan dahsyat yang dibuat oleh mereka. Bermula gelaran Munafik Haraki, kemudian parti tajaan DAP, sehinggalah hari ini, politik label melabel oleh Pas diteruskan dan kali ini digelar pula Amanah fitnah kepada agama Islam,” kata Mohamed Nashrudin dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Hafiz Roslan berkata, antara isu penting yang perlu diberi perhatian adalah kestabilan ekonomi umat Islam iaitu mengenai langkah konkrit dalam memperkasakan ekonomi bumiputera dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Dalam pada itu, Mohamed Nashrudin berkata, Pemuda Amanah tetap akan menjalankan dialog tersebut walaupun undangan berkenaan tidak diterima oleh Pemuda Pas.