King Sing selar tindakan mahu tukar kerajaan

SHAH ALAM - Tindakan segelintir pihak yang mendesak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditukar tanpa melalui proses pilihan raya boleh menjejaskan keamanan dan perpaduan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan ini turut menyebabkan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan dan ragu terhadap kestabilan Malaysia.

“Anwar harus dibenarkan untuk melengkapkan tempoh lima tahunnya bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan sepenuhnya inisiatif dan dasar yang dirancang bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Jika Anwar gagal memberikan prestasi yang memuaskan, rakyat berhak untuk menyatakan kehendak mereka melalui peti undi,” katanya.

**media[2957186]**

Sebelum ini, Pas mendesak Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.

Menyentuh kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, King Sing menegaskan, kepercayaan perlu diberi kepada Lembaga Pengampunan tanpa mengganggu hala tuju negara melalui perhimpunan atau apa jua langkah serupa.

"Jadi semua pihak perlu bersama-sama menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan perundingan tanpa perlu tergesa-gesa mendesak perubahan dalam kepimpinan. Masa depan Malaysia tidak boleh tergelincir oleh agenda politik.

"Di saat global dinamik dan berubah dengan pantas ini adalah penting untuk mengutamakan persekitaran yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya bertenang serta mengetepikan perbezaan dan mengambil perspektif jangka panjang terhadap situasi semasa,” katanya.