JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar meletak jawatan untuk dipertanggungjawabkan selepas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan surat Istana Pahang sebagai bukti tambahan kewujudan Titah Adendum pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Anwar tidak wajar dipersalahkan kerana pihak yang didakwanya bertanggungjawab adalah Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara.
"Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukannya Anwar Ibrahim tetapi Peguam Negara atau wakilnya daripada Jabatan Peguam Negara dan hal ini telah pun ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib semalam (Isnin).
"Justeru, kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan kepada Anwar untuk memikulnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Pas pada Isnin menggesa Anwar segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, pendirian Anwar yang tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kebebasan kehakiman wajar dipuji.
"Apakah kita mahu Perdana Menteri campur tangan dalam kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Federal Council dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu Anwar terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.
"Melihat dan mendengar Anwar menjawab di Parlimen dalam soal pengampunan Najib dan Titah Adendum, saya sebagai seorang ahli Parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa Perdana Menteri memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman," ujarnya.