DHPP hadir himpunan solidariti Najib demi pertahan kedaulatan undang-undang

KUANTAN - Kehadiran Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) pada himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan Istana Kehakiman bagi mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan bukan kerana mana-mana individu.

Ketuanya, N Balasubramaniam berkata, pihaknya percaya keadilan harus ditegakkan untuk semua pihak tanpa diskriminasi dan tanpa campur tangan politik.

Menurutnya, Pas termasuk DHPP tidak pernah menunggang mana-mana pemimpin demi keuntungan politik sebaliknya hanya menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya ketika mereka menghadapi kecaman atau cabaran besar.

"Bantuan ini bersandarkan semangat persaudaraan dan kemanusiaan, bukan kerana kepentingan peribadi atau politik.

"Solidariti ini lambang sokongan terhadap perjuangan mempertahankan keadilan dan demi kebenaran yang menyeluruh bukan memihak kepada mana-mana individu," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Balasubramaniam berkata, pendedahan Titah Adendum telah menimbulkan persoalan besar justeru DHPP memandang serius kegagalan Kerajaan Madani dalam memberi penjelasan yang tuntas mengenai isu tersebut.

"Pendedahan adendum oleh Istana Pahang membuka dimensi baharu terhadap perbicaraan dan keputusan yang melibatkan Najib.

"DHPP memandang serius perkara ini kerana ia mengundang persoalan tentang integriti dan ketelusan pentadbiran Kerajaan Madani," katanya.

Tambah beliau lagi, ketidakadilan mesti diatasi dan dakwaan kerajaan cuba menyembunyikan maklumat bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

"DHPP menuntut penjelasan mengenai perkara ini, agar kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dapat dipulihkan.

"Ini kerana sikap sesetengah menteri memperlekehkan adendum sebagai khabar angin satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak hanya mengelirukan rakyat tetapi juga berpotensi melemahkan kredibiliti kerajaan dalam isu-isu penting melibatkan hak dan kepercayaan awam," katanya.

Menurut Balasubramaniam lagi, rakyat berhak tahu kebenaran, oleh sebab itu DHPP berdiri bersama rakyat dalam menuntut hak untuk mengetahui fakta sebenar yang telah disorokkan.

"Langkah menafikan hak ini hanya akan merosakkan asas demokrasi kerana apabila fakta sebenar akhirnya didedahkan, ia mengundang kejutan dan impak besar terhadap keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

"DHPP menyeru agar sistem kehakiman diberikan ruang untuk berfungsi secara bebas, telus, dan adil.

"Sekiranya ada elemen tidak adil terhadap Najib, ia perlu diperbetulkan tanpa tekanan politik," katanya.

Sementara itu tambah beliau, DHPP menyeru Kerajaan Madani segera tampil memberikan penjelasan yang telus, lengkap dan berani kepada rakyat.

"Kegagalan untuk bertindak sedemikian hanya akan merosakkan lagi kepercayaan terhadap kepimpinan negara serta mencetuskan krisis keyakinan terhadap demokrasi di negara ini.

"Pendirian Pas dari awalnya amat jelas iaitu mendapatkan kesahihan mengenai kewujudan adendum tersebut dan bila ia diketahui wujud, kerajaan wajib mengambil tanggungjawab untuk melaksanakannya," katanya.

Jelasnya, DHPP akan terus memperjuangkan nilai-nilai keadilan, ketelusan, dan demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan negara.