Anwar dan pentadbiran sepanjang 2024

TAHUN 2024 telah melabuhkan tirai dan antara momen signifikan menjadi sorotan pastinya pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginjak usia dua tahun.

Tahun 2024 menjadi cerminan kepada kemampuan Kerajaan Madani dalam menghadapi pelbagai cabaran dan melaksanakan agenda reformasi.

Walaupun terdapat pencapaian signifikan dalam aspek seperti ekonomi dan sosial namun kelemahan dalam pelaksanaan dasar serta isu integriti telah mencetuskan pelbagai kritikan.

Malah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, Anwar dan kerajaannya perlu bekerja keras memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan setiap janji reformasi dilaksanakan dengan berkesan.

Menyingkap prestasi Anwar dan Kerajaan Madani dari kaca mata penganalisis, terdapat sisi positif yang boleh dibanggakan dan tidak ketinggalan sisi negatif yang perlu diperbaiki.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, dua tahun memegang pentadbiran negara pelbagai kejayaan dan cabaran telah mencerminkan keberkesanan dasar diperkenalkan dan kelemahan struktural yang masih dihadapi negara.

“Antara pencapaian positif Kerajaan Perpaduan termasuk kemajuan dalam reformasi institusi walaupun tidak sepenuhnya selesai, beberapa reformasi penting telah dilaksanakan.

“Penambahbaikan fungsi Parlimen melalui pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas, reformasi kehakiman yang memberi lebih kebebasan kepada badan perundangan, memastikan pengasingan kuasa lebih jelas dan penambahbaikan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meningkatkan ketelusan siasatan,” katanya kepada Sinar Premium.

**media[2949784]**

Berikutnya, tahun 2024 turut menyaksikan Anwar meningkatkan kesejahteraan penjawat awam menerusi beberapa insentif tambahan seperti kenaikan gaji minimum, penambahbaikan sistem kerja fleksibel dan pemberian insentif prestasi.

“Langkah ini tidak hanya meningkatkan moral penjawat awam tetapi juga memastikan mereka lebih produktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” kata Hussain Yusri.

Katanya, Kerajaan Madani turut berjaya memperkenalkan beberapa inisiatif besar dalam pembangunan infrastruktur hijau dan teknologi digital.

“Pelancaran Pelan Tindakan Negara Neutral Karbon 2050 misalnya telah memacu pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.

“Selain itu, pembangunan rangkaian 5G di seluruh negara berjalan lebih pantas daripada jadual, menjadikan Malaysia salah satu negara paling maju dalam penggunaan teknologi telekomunikasi di ASEAN,” katanya.

Seterusnya, usaha Kerajaan Madani memperkasa pembangunan luar bandar dan wilayah kurang membangun seperti Sabah dan Sarawak turut menampakkan hasil.

Sebagai contoh katanya, peruntukan khas dalam Bajet 2024 telah mempercepatkan pembinaan jalan raya, bekalan air bersih dan akses kepada tenaga elektrik di kawasan pedalaman telah meningkatkan kualiti hidup penduduk serta memperkukuh perpaduan nasional.

“Tidak ketinggalan juga, kecekapan dalam pengurusan bencana. Malaysia pada tahun ini mengalami bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

“Kerajaan menunjukkan kecekapan melalui mobilisasi bantuan segera dan kerjasama antara agensi. Penggunaan teknologi moden seperti dron dan sistem amaran awal juga membantu mengurangkan impak bencana terhadap rakyat,” katanya.

Menurutnya, dasar memfokuskan golongan belia dan wanita juga menjadi titik penting di mana penubuhan lebih banyak perniagaan untuk usahawan muda serta peningkatan kuota wanita dalam jawatan penting kerajaan menunjukkan komitmen terhadap pembangunan golongan ini.

Ujarnya lagi, walaupun berdepan landskap politik sukar, kerajaan berjaya mengekalkan kestabilan politik tanpa insiden besar seperti perpecahan parti atau krisis pentadbiran sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menguruskan negara secara konsisten.

“Berikutnya, berdasarkan laporan World Happiness Report 2024, Malaysia mencatatkan peningkatan skor kebahagiaan rakyat akibat daripada usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Antara faktor utama termasuk pengurangan kadar kemiskinan, akses yang lebih baik kepada perkhidmatan awam dan peningkatan kualiti hidup di bandar dan luar bandar,” katanya.

Namun di sebalik sisi positif, Hussain Yusri berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan berikutan persepsi rakyat terhadap integriti pentadbiran masih terjejas walaupun retorik anti-rasuah menjadi salah satu tonggak utama Kerajaan Madani.

“Contohnya, pelantikan individu yang terpalit kes rasuah atau kontroversi moral sebagai pemimpin utama kerajaan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Ini memberikan kesan buruk kepada naratif reformasi yang cuba dibawa Anwar.

“Seterusnya, sebahagian dasar yang diperkenalkan gagal diterjemahkan secara efektif di peringkat akar umbi. Misalnya, walaupun terdapat pengumuman pelbagai inisiatif sosial, pelaksanaan program seperti bantuan kewangan kepada usahawan kecil masih lambat dan kurang tersusun.

"Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan lebih fokus pada retorik politik daripada menyelesaikan isu sebenar rakyat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, perpaduan nasional juga menjadi cabaran besar dengan isu kaum dan agama sering digunakan sebagai alat politik oleh pihak tertentu.

“Tindakan kerajaan yang dilihat kurang tegas dalam menangani retorik perkauman menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik," katanya.

Visibiliti, citra Malaysia meningkat

Bagi Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial merangkap Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, kredit perlu diberikan kepada Anwar kerana meningkatkan visibiliti dan citra Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sepanjang 2024 beliau gigih berinteraksi dengan komuniti antarabangsa dalam pelbagai aspek menjadikan Malaysia semakin dihormati dalam landskap ASEAN, Asia dan dunia. Hal ini menyumbang kepada peningkatan ketara pelaburan langsung asing (FDI) yang juga antara indikator penting perkembangan baik ekonomi negara.

“Keyakinan komuniti bisnes antarabangsa ini banyak dipengaruhi kemampuan Anwar menstabilkan iklim politik tanah air serta mempamerkan polisi ekonomi negara yang jelas,” katanya.

Tambah Mohd Yusri, tahun 2024 umpama rahmat besar apabila penjawat awam mendapat durian runtuh menerusi kenaikan gaji dengan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) manakala pekerja swasta khususnya daripada kelompok pekerja bawahan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum ditetapkan kerajaan.

“Penambahan wang boleh belanja dalam poket ini akan memberi lebih kegembiraan kepada golongan pekerja sekaligus merangsang aktiviti ekonomi dalam negara.

“Kerajaan Anwar turut tidak melupakan kelompok rakyat berpendapatan rendah. Ini dibuktikan dengan peningkatan dan kestabilan harga komoditi seperti getah, sawit, padi dan kelapa sepanjang 2024 yang memberi kesan besar kepada kehidupan petani, pesawah, peladang serta pekebun kecil,” katanya.

Tidak ketinggalan katanya, tahun ini juga menyaksikan kedudukan Ringgit semakin baik berbanding tahun sebelumnya sekali gus memberi nilai tambah besar untuk komuniti bisnes antaranya melalui peningkatan kuasa beli.

Bagaimanapun, selain pencapaian positif, Anwar berdepan banyak cabaran dan ujian terbesar beliau adalah politiking dalaman parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Perlu diingat, Anwar sekadar mengetuai sebuah kerajaan campuran bukan kerajaan yang dimenangi secara tunggal oleh Pakatan Harapan.

"Anwar perlu berdepan pelbagai tuntutan dan desakan termasuk parti komponen kerajaan sendiri yang mengakibatkan sebahagian keputusan beliau tidak popular, bahkan tidak mencerminkan sepenuhnya semangat reformasi yang diperjuangkan selama ini," katanya.