Mohamed Azmin dilantik Pengarah Pilihan Raya PN

SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini memaklumkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.

Selain itu, Majlis Tertinggi PN turut bersetuju sebulat suara menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN di setiap negeri bagi memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri juga akan dilantik bagi mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri.

Menurutnya, keputusan dibuat setelah mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 9 November lalu memuktamadkan beberapa keputusan bagi mengukuhkan kedudukan PN sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.

"Untuk memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh, Majlis Tertinggi bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaraskan aktiviti parti di peringkat negeri.

"Dalam hal ini, Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain pelantikan Mohamed Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya PN, sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Ir Khairil Nizam Khiruddin juga diminta untuk merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli parti.

"Majlis Tertinggi percaya keputusan-keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti-pati komponen PN," katanya.

Mohamed Azmin Ali
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :