Amirudin beri bayangan terus kekal tadbir Selangor

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan akan terus kekal menerajui pentadbiran di negeri ini meskipun terdapat ura-ura mengaitkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kenyataan itu sekali gus menafikan spekulasi kononnya Tengku Zafrul sebagai pengganti Amirudin seperti dilaporkan sebelum ini.

Amirudin berkata, terdapat pelbagai bentuk spekulasi yang tular sejak tiga hari lalu mengenai kedudukan beliau selaku Menteri Besar Selangor.

"Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia (Sultan Selangor), Tuanku dan perkenan baginda untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

"Saya akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan negeri Selangor," katanya menerusi satu pesanan di aplikasi WhatsApp pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dikaitkan untuk menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.

Sebuah portal turut memaklumkan, rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dengan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, UMNO tidak menerima sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak dapat mengesahkan desas-desus berhubung dakwaan itu.