Tiada laluan khas sertai PKR

SHAH ALAM - Tiada laluan khas yang bakal ditawarkan kepada mana-mana individu yang berminat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuklah figura-figura politik luar.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, mereka yang berminat sebaliknya perlulah mengemukakan proses permohonan keanggotaan parti mengikut saluran bermula permohonan secara dalam talian, diikuti pengesahan oleh sistem pendaftaran keahlian parti dan seterusnya ia dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk pertimbangan kelulusan.

Menurutnya, dalam keadaan PKR kini merupakan sebahagian parti memerintah dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, maka tidaklah memeranjatkan sekiranya ramai pihak berminat untuk menjadi anggota terutama pemimpin-pemimpin memiliki nama besar.

“Namun perlu diingatkan Keadilan (PKR) merupakan parti reformasi yang mendukung agenda membela rakyat, di mana Deklarasi Permatang Pauh dan Islah menjadi panduan pimpinan parti dan seluruh anggota di dalam memacu agenda parti, rakyat dan negara.

“Walaupun parti ini sudah pun menjadi sebahagian parti kerajaan, ia tidak berubah dari segi prinsip yang didukung sejak zaman Reformasi Jalanan sehinggalah ke fasa Reformasi Pentadbiran dan Reformasi Dasar yang melibatkan masa hadapan negara.

“Parti ini bukan merupakan wadah untuk mengaut kepentingan peribadi dengan segala jawatan disandang pimpinan di semua peringkat, wajib digunakan untuk membela rakyat dan mengangkat agenda Islah,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menjelaskan, PKR sentiasa mengalu-alukan sumbangan anggota di semua peringkat terhadap parti, tanpa mengira sekecil mana pun sumbangan berkenaan.

Jelasnya, semua akar umbi parti perlu mengingati perjalanan perjuangan reformasi selama 26 tahun adalah amat sukar, penuh berliku dan memerlukan banyak pengorbanan.

“Bagi yang mahu menjadi anggota baharu PKR, mereka perlu menyedari tidak sedikit juga yang telah gugur di sepanjang perjalanan yang sukar, dari permulaan parti ditubuhkan dahulu, dalam kalangan anggota mahu pun pemimpin.

“Yang teramat penting adalah agenda Islah Mastata’tu atau sedaya upaya mendesak perubahan ke arah kebaikan dijulang parti akan dapat diangkat,” katanya.