KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggesa supaya UMNO tidak menjadi 'tangan ghaib' dengan masuk campur hal ehwal politik di negeri ini.
Timbalan Ketua Penerangan STAR, Ardino Diris berkata, Sabah merupakan negeri yang berdaulat dengan hak untuk menentukan hala tujunya sendiri.
"Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan kepimpinan yang teguh dan inklusif serta membawa kestabilan yang diperlukan kepada Sabah.
"Sebarang campur tangan dan cubaan untuk menimbulkan perpecahan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan merosakkan kemajuan yang telah kita capai bersama serta akan melemahkan usaha memajukan negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ardino menegaskan bahawa STAR mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang cuba menggugat perpaduan dan kestabilan kerajaan.
"STAR Sabah menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
"Pada saat Sabah memerlukan kestabilan dan perpaduan, sebarang usaha untuk menggugat keutuhan kerajaan GRS adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merugikan rakyat.
"Panggilan untuk beliau meletakkan jawatan adalah bermotif politik dan mengalihkan fokus kerajaan daripada membawa kemajuan serta menjaga hak Sabah, termasuk isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi, STAR akan terus berdiri teguh bersama Ketua Menteri demi kestabilan, kemajuan dan masa depan Sabah yang lebih baik