PN perlu tumpu beri idea polisi alternatif

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan supaya memperbanyakkan polisi alternatif bagi mengimbangi kerajaan jika ingin dilihat sebagai pembangkang yang baik.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, idea polisi sebegitu kurang dimainkan pembangkang, sebaliknya lebih tertumpu kepada mencipta kandungan media sosial semata-mata untuk menghentam kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, rakyat masa kini sudah bijak menilai dan turut menginginkan PN berbuat demikian.

**media[2918675]**

“Dahulu, kami di peringkat parti ada jurucakap portfolio. Sekarang PN lebih ke hadapan dengan adanya kabinet bayangan, itu bagus kerana ia dasar positif tetapi masih belum mencukupi.

“Kalau di zaman Pakatan Rakyat di mana Pas turut serta, kita tawarkan bajet alternatif. Memang betul ia tak sama seperti bajet kerajaan, tetapi idea itu ada.

“Apa salahnya PN tumpu kepada memperbanyakkan polisi alternatif kerana rakyat sudah berbeza dan bijak menilai. Saya rasa ia kurang dimainkan, tetapi dari segi membuat hebahan media sosial untuk menyerang kerajaan, mereka bagus Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu yang dihoskan Penolong Pengarang Berita (Digital), Mohd Fazli Zainul Abidin di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini baru-baru ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, tidak dinafikan ketika membentuk Kerajaan Perpaduan pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, sesetengah daripada pembangkang berhubung dengan mereka meminta untuk menyertai gabungan.

“Keputusan pilihan raya lalu tiada mana-mana parti atau gabungan yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan sebab itulah wujudnya Kerajaan Perpaduan.

“Dijemput untuk turut serta adalah Perikatan Nasional (PN) waktu itu. Ada sesetengah daripadanya berhubung dengan kami untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi, bagi rakyat, sudah semestinya mereka mahu lihat kerajaan melaksanakan tugas sebaik mungkin seperti mana dijanjikan,” ujarnya lagi.