PKR seru anggota parti beri sokongan bantu rakyat terjejas banjir

SHAH ALAM - PKR menyeru semua pihak termasuk anggota parti untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat terjejas akibat banjir.

Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata, semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat.

Menurutnya, berikutan situasi banjir yang sedang melanda dan dijangka berterusan di beberapa kawasan seluruh negara, Majlis Pimpinan Pusat (MPP), PKR mengambil keputusan untuk menangguhkan Kongres Wanita, Kongres AMK dan Kongres Nasional 2024 ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memberi keutamaan kepada kebajikan anggota parti, sukarelawan, serta rakyat yang sedang berdepan musibah banjir.

"KEADILAN komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan yang sedang dan akan terus digerakkan oleh parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Fuziah, pada masa yang sama, MPP turut memutuskan satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan tetap diadakan pada 15 Disember 2024.

Ujarnya, pelaksanaan Kongres Khas tersebut akan diadakan di Selangor dan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat.