KOTA BELUD - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bagi mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan yang disandangnya ketika ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika berucap merasmikan program Gerak17 UMNO Sabah bagi kawasan DUN Usukan pada Jumaat.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pemilihan Salleh sebagai calon memenuhi kriteria yang diperlukan selain memenuhi aspirasi rakyat di kawasan Usukan yang mahukan penyandangnya terus dikekalkan.
"Beliau (Salleh) telah menaburkan bakti dan sumbangan besar kepada parti serta rakyat khususnya di kawasan ini.
"DUN Usukan kawasan pertama yang melahirkan UMNO di Sabah melalui pilihan raya pada 11 Mei 1991 apabila calon UMNO Allahyarham Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun memenangi kawasan tersebut.
**media[2882586]**
"Sebagai anak sulung kelahiran UMNO di Sabah, rakyat Usukan perlu bangkit mengembalikan momentum tersebut bagi memastikan bukan sahaja DUN Usukan akan dipertahankan pada PRN akan datang malah DUN Tempasuk yang sebelum ini merupakan kerusi UMNO perlu dikembalikan maruahnya," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mengajak ahli UMNO di DUN Usukan supaya bersatu dan bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan segala gerak kerja serta strategi untuk kemenangan BN pada PRN itu nanti.
"Gerak kerja ini adalah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan dari kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.
"Hampir lima tahun kerajaan yang ada pada hari ini mentadbir Sabah, kegagalan demi kegagalan terus menghantui rakyat di negeri ini terutama dalam penyediaan infrastruktur asas dan masalah kemiskinan yang menghimpit kehidupan rakyat," katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMT) UMNO berkata, kerajaan hari ini enggan mengakui kegagalan mereka sebaliknya banyak menyalahkan orang lain.
"Mereka lupa satu ketika mereka juga berada di dalam BN dan UMNO dan turut merasai nikmat yang mereka peroleh dari diberikan parti ini.
"Jadi PRN kali ini adalah masa terbaik bagi rakyat Sabah membuat pilihan yang bijak, rakyat seharusnya tidak lagi terpedaya dengan segala slogan yang hanya gah didengar namun perlaksanaanya kosong," katanya.
Sebelum itu, Salleh merupakan individu kedua diumumkan sebagai calon PRN selepas Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed bagi menghadapi PRN yang bakal menjelang tidak lama lagi.