KOTA BHARU - Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang dijangka akan mengadakan pemilihan pada pertengahan Disember ini.
Bahagian itu tidak mengadakan pemilihan pada Sabtu lalu disebabkan digantung setelah bekas penyandangnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, 10 ahli jawatankuasa di bawah bahagian terbabit turut terbatal.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Kelantan, Mohd Zohan Sapii berkata, bahagian Gua Musang terbubar secara automatik setelah Mohd Azizi Abu Naim menyatakan sokongan kepada Anwar tahun lepas.
“Manakala dua lagi bahagian iaitu Jeli dan Machang juga tidak diadakan pemilihan kerana digantung atas sebab-sebab teknikal.
“Tiga bahagian yang digantung ini dijangka akan membuat pemilihan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan depan,” katanya pada sidang akhbar keputusan Pemilihan Bersatu Kelantan di Pejabat Bersatu negeri, di sini, pada Selasa.
Selain itu, menurut Mohd Zohan, pada pemilihan tersebut, enam bahagian bertanding manakala lima bahagian tiada pertandingan.
Proses pemilihan di enam bahagian itu melibatkan seramai 567 pengundi dan proses pemilihan berjalan lancar.
“Bagi enam bahagian bertanding, ketua bahagian dimenangi Datuk Kamarudin Md Nor (Pasir Puteh), Ahmad Hakimi Mohd Yasim (Kubang Kerian), Zulfaqar Yeop Dahalan (Kuala Krai), Hashim Hamid (Kota Bharu), Che Johan Che Pa (Pasir Mas) dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Ketereh).
“Daripada jumlah berkenaan, tiga ketua bahagian mengekalkan jawatan masing-masing iaitu Kamaruddin, Che Johan dan Zulfaqar manakala tiga ketua bahagian yang lain adalah muka baharu,” katanya.
Tambah beliau, lima bahagian yang tidak bertanding kerana tidak dicabar adalah Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah), Kairul Azri Mohd Zin (Rantau Panjang), Ahmad Nasruddin Abdullah (Pengkalan Chepa), Sikrin Yusof (Bachok) dan Mohd Wira Arjuna Muhamad (Tumpat).
“Kesemua mereka kekal mempertahankan jawatan masing-masing,” katanya.