PKR kukuhkan kerjasama dengan UMNO sudah dijangka

SHAH ALAM - Pengukuhan kerjasama antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO sudah dapat dijangka apabila melihat hubungan baik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, parti-parti berkenaan juga tidak menunjukkan sebarang perbalahan seperti yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini.

“Kalau ada sekalipun hanya melibatkan segelintir individu yang membuat kenyataan kurang menyenangkan tetapi ia tidak mewakili parti masing-masing,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi juga komited menunjukkan semangat setiakawan dan hubungan baik yang menyumbang kepada kestabilan negara pada hari ini.

“Selepas dua tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri banyak kejayaan diperoleh kerajaan seperti pelabur asing telah datang menanam modal, ringgit Malaysia semakin mengukuh, perdagangan yang semakin meningkat dan eksport yang setengah tahun saja mencecah RM1.5 trilion dan ia satu rekod yang baik,” katanya.

Jelasnya, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini rakyat mendapat banyak faedah yang meliputi seluruh peringkat umur masyarakat dan bangsa.

“Belanjawan ini menunjukkan kemuncak kejayaan kerajaan. Walaupun kerajaan Madani ini adalah kerajaan yang tidak ada majoriti mana-mana parti tetapi ia kukuh.

“Anwar mendapat sokongan lebih 150 kerusi, lebih daripada majoriti dua pertiga dan atas sebab kestabilan yang wujud ini kemakmuran negara dikecapi yang seterusnya memberi komitmen kepada Perdana Menteri selaku Presiden PKR untuk teruskan hubungan dengan UMNO.Jelasnya, hubungan antara PH dengan BN jika dapat dikukuhkan lagi akan membawa kejayaan besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada Ahad, PKR membuat keputusan untuk mengukuhkan kerjasama dengan UMNO dan BN khususnya di Semenanjung Malaysia.