JUMAAT, 18 Oktober 2024 menjadi detik keramat untuk penentuan pembentangan inti pati Belanjawan 2025.
Istimewanya kali ini, ia disifatkan sebagai belanjawan paling penting dan mencabar setelah kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim julung kali membentangkan inti pati belanjawan era Kerajaan Perpaduan tahun lalu.
Dalam kekangan dan kesuraman ekonomi negara dan dunia ditambah konflik perang serantau Asia Barat semakin memuncak, amat perlu diperhatikan sama ada kerajaan bersedia meneruskan amalan berbelanja besar untuk membantu rakyat atau memilih langkah rasionalisasi bagi mengurangkan hutang fiskal negara yang telah mencecah RM1.173 trilion.
**media[2847190]**
Untuk rekod, Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bilion.
Belanjawan tahun lalu juga diklasifikasikan sebagai belanjawan tertinggi pernah dibentangkan negara dengan pecahan peruntukan RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Antara perkara besar diumumkan pada Belanjawan 2024 ialah kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus, pengenalan cukai barang bernilai tinggi, kenaikan berperingkat harga diesel, akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pengenalan cukai keuntungan modal.
**media[2847188]**
Bagi Belanjawan 2025, beberapa pakar ekonomi tempatan menjangkakan terdapat 15 perkara atau ‘kejutan’ besar yang berpotensi menjadi titik fokus utama kerajaan Madani untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
15 perkara besar itu merangkumi jangkaan pengumuman rasionalisasi subsidi petrol RON 95, pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan SST, pemansuhan sepenuhnya subsidi diesel, kenaikan mendadak duti eksais ke atas tembakau dan alkohol serta pemansuhan subsidi pendidikan kepada golongan elit mahu pun subsidi telur.
Selain itu, Belanjawan 2025 diunjurkan memperincikan sistem kenaikan gaji penjawat awam, perangkaan reformasi pentadbiran awam termasuk inisiatif rasionalisasi badan berkanun, pelaksanaan dasar gaji progresif secara berperingkat dengan kewajiban mandatori terhadap syarikat-syarikat ‘mahakaya’ dan perangkaan Pelan Transformasi Kesihatan Planet.
Tambahan titik fokus besar Belanjawan 2025 lain adalah pembangunan Akta Penangkapan Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), pemerkasaan inisiatif meningkatkan kek ekonomi bumiputera, pengenalan inisiatif Deposit Madani untuk pembeli rumah pertama, peningkatan sokongan tunai kepada kumpulan rentan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengenalan subsidi khas dalam menangani isu kos sara hidup dan peningkatan harga barangan keperluan asas.
Bagi Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Razli Ramli, unjuran pengenalan rasionalisasi subsidi petrol RON95 berperingkat, pemansuhan sepenuhnya subsidi diesel, pengenalan semula GST, pemansuhan subsidi pendidikan kepada golongan elit, pemansuhan subsidi telur dengan kenaikan mendadak duti eksais tembakau dan alkohol adalah wajar dan sangat signifikan bagi membantu mengurangkan beban fiskal kerajaan.
Jelasnya, bagi pengumuman subsidi petrol berperingkat, kerajaan mungkin boleh memperkenalkan subsidi berdasarkan pendapatan isi rumah atau penggunaan harian rakyat.
“Langkah memperkenalkan semula GST adalah relevan kerana dapat meningkatkan pendapatan kerajaan secara lebih efisien berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Saya kira langkah pengenalan kadar GST dengan nilai peratusan lebih rendah berbanding enam peratus sebelum ini, bersama pengecualian untuk barangan keperluan asas adalah strategi ideal.
“Bagi keperluan menaikkan kadar duti eksais untuk tembakau, rokok, alkohol dan cecair vape, hasil cukai tambahan yang diperoleh boleh disalurkan kembali kepada sektor kesihatan khususnya rawatan penyakit berkaitan penggunaan tembakau dan alkohol.
“Cuma dalam aspek pemotongan subsidi pendidikan terhadap golongan elit dan subsidi telur, pelaksanaannya perlu lebih berhati-hati kerana langkah sedemikian mungkin akhirnya membebankan agensi kerajaan berkaitan dan meminggirkan kebajikan kelompok elit mahu pun marhaen,” katanya kepada Sinar Premium.
LANGKAH RASIONAL
Dalam aspek perincian sistem kenaikan gaji penjawat awam dan perangkaan reformasi pentadbiran awam, Penyelidik dan Perunding Kewangan Islam, Dr Shahrul Zaman Abdul Razak mengunjurkan keputusan itu memberi kesan positif dari aspek rangsangan perbelanjaan domestik.
Selain itu, beliau melihat langkah rasionalisasi badan berkanun yang mempunyai fungsi bertindih mampu mengoptimumkan produktiviti institusi-institusi berkenaan, mengelakkan pembaziran sumber kewangan dan manusia serta mengurangkan karenah birokrasi.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, tetapi berupaya menyokong sektor-sektor perniagaan yang bergantung permintaan tempatan. Cuma kerajaan perlu memastikan kenaikan gaji ini selari dengan produktiviti sektor awam agar ekonomi negara terus berkembang berkadar langsung dengan pengukuhan kewangan negara.
“Dalam aspek rasionalisasi badan berkanun, antara agensi dilihat bertindih fungsi adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di mana kedua-duanya terlibat pembangunan tanah dan kawasan luar bandar,” jelasnya.
Bagi Razli, reformasi pentadbiran awam dilaksanakan secara radikal dan drastik pula boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam struktur pentadbiran dan mengganggu operasi perkhidmatan awam, terutama jika rasionalisasi badan berkanun tidak dilaksanakan secara berhati-hati.
**media[2847191]**
Beliau turut menyatakan kebimbangan serupa terhadap sebarang inisiatif kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan dasar gaji progresif dalam Belanjawan 2025.
“Pelaksanaan terburu-buru dasar gaji progresif mungkin menekan syarikat, terutamanya perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKMS), yang terdedah risiko kesukaran dalam mengekalkan keuntungan sambil mematuhi dasar tersebut.
“Tindakan ini juga boleh membawa kepada pengurangan peluang pekerjaan atau peningkatan kos barangan dan perkhidmatan. Dicadangkan agar pendekatan alternatif seperti menggalakkan latihan kemahiran dan inovasi dalam kalangan pekerja boleh diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan tanpa perlu menetapkan struktur gaji progresif yang ketat,” ujar beliau.
Menyentuh aspek perangkaan Pelan Transformasi Kesihatan Planet dan pembangunan Akta CCUS, Razli dan Shahrul Zaman berkongsi pandangan bahawa kedua-dua inisiatif itu amat penting demi menangani impak gangguan manusia terhadap sistem semula jadi bumi termasuk perubahan iklim, pencemaran dan degradasi ekosistem yang memberi kesan langsung terhadap kesihatan makhluk bumi.
“Kerajaan juga melihat CCUS sebagai salah satu pendorong pertumbuhan baharu ekonomi yang berpotensi menarik pelaburan nilai tinggi lebih RM100 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang,” ujar Shahrul Zaman.
PENYELESAIAN BERSIFAT SEMENTARA
Mengenai unjuran pengenalan inisiatif deposit Madani untuk pembeli rumah pertama, peningkatan jumlah sokongan tunai terhadap golongan rentan dan agihan subsidi khas menangani isu harga barang meningkat, Razli merasakan inisiatif berkenaan hanya satu bentuk penyelesaian bersifat sementara yang tidak menjadi penyelesaian jangka masa panjang.
“Pemberian deposit diunjurkan sebanyak RM30,000 mungkin tidak menyelesaikan isu asas pemilikan rumah seperti harga rumah akan terus meningkat dan kekurangan rumah mampu milik di pasaran.
“Lebih baik kerajaan fokus untuk melaksanakan lebih banyak projek perumahan mampu milik dan mengawal harga pasaran atau harga bahan binaan asas.
“Sama juga dengan pemberian peruntukan tambahan untuk bantuan STR yang dilihat kurang efektif dalam menyelesaikan isu ketidakstabilan pekerjaan dan pendidikan rendah.
“Kerajaan perlu memastikan bahawa segala pemberian insentif tunai dan subsidi tidak bertentangan dengan prinsip keadilan selain tidak membebankan pihak tertentu dengan harga tidak adil, pengagihan tidak telus dan beretika,” tegasnya.