Malaysia negara beragama, bukan sekular - Pas

SHAH ALAM - Pas tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai negara sekular, sebaliknya menegaskan Malaysia ialah negara beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika dilihat lima tahun ke belakang ini, Pas seringkali menegaskan bahawa Malaysia bukan negara sekular.

"Sepanjang penglibatan saya di dalam Pas, apa yang sering diulang-ulang ialah penegasan Pas bahawa Malaysia bukan negara sekular.

"Boleh jadi ia merupakan skrip 30-40 tahun lepas, maka ia sudah tidak lagi relevan kerana jika diungkit skrip lama, sudah tentu DAP masih parti chauvinist mengikut lisan Perdana Menteri sekarang sewaktu beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO,"katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Hantaran berkenaan turut disertakan pautan artikel bagi membuktikan penegasan Pas berhubung Malaysia sebagai negara beragama.

Pada masa sama, beliau menambah, apa yang diperjuangkan oleh Pas bukanlah merubah Perlembagaan Malaysia, tetapi menafsirkan Islam di dalam Perlembagaan sebagai satu agama yang syumul dan cara hidup.

"Inilah yang ditegaskan oleh Presiden Pas di dalam tulisannya pada 19 Jun 2023.

"Antara lain beliau menulis, 'Kita telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, maka makna Islam itu hendaklah ditafsirkan mengikut bahasa al-Quran dengan kesempurnaan maknanya. Maka, pentafsiran secara sekular adalah suatu perkara yang salah dan sesat yang dahulunya telah dibawa oleh penjajah dan kitab Injil yang telah diubah kandungannya',"katanya.

Menerusi hantaran sama, beliau sebaliknya mengaitkan dakwaan Malaysia negara sekular dengan kenyataan-kenyataan daripada pemimpin DAP

.Antaranya, kenyataan dibuat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyatakan Pas harus menerima bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular.

"Banyak lagi kenyataan sebenarnya daripada pemimpin DAP yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular. Jadi sebenarnya, siapakah yang mendakwa bahawa negara ini sekular?,"soalnya.

Sehubungan itu, beliau dengan nada sinis menyatakan, pemimpin-pemimpin DAP seharusnya dicabar untuk turut sama mengulangi bahawa, Malaysia bukan negara sekular tetapi negara beragama.