Sabah, Sarawak sudah bincang tambahan satu pertiga kerusi Parlimen - Hajiji

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah telah berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai permintaan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 ketika penubuhan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan itu sudah dilaksanakan di peringkat pegawai kerajaan kedua-dua negeri.

"Kita telahpun menyatakan hasrat dan kemahuan kita ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam mesyuarat MA63 pada 12 September yang lalu.

**media[2829460]**

"Insya-ALLAH, kita kena tengok dari segi keadaan kawasan, kependudukannya dan luasnya untuk Sabah. Ini adalah untuk menyeimbangkan apabila kita membuat sesuatu, memperkenalkan satu perlembagaan dalam parlimen untuk memastikan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak itu juga diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena minggu suai mesra sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor UMS pada Selasa.

Diminta mengulas lanjut mengenai keperluan Sabah dan Sarawak mendapat jumlah kerusi parlimen tersebut, beliau menegaskan bahawa memang ia diperlukan.

"Ya, memang kita perlu. Tetapi untuk menjadikan satu kerusi parlimen itu, bilangan pengundi atau penduduk mesti juga diambil kira, tidak mungkin satu parlimen pengundinya 20,000 saja, ini sebagai contoh.

"Jadi kita akan terus meminta dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini. Insya-ALLAH ada pertambahan," katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai keperluan untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, belum tiba masanya lagi untuk dikaji kerana kerusi DUN baru saja ditambah sebelum ini.

"Dewan Negeri (DUN) kita sudah tambah. Belum lagi sampai masanya untuk kita mengkaji pertambahan kerusi bagi DUN.

"Tetapi Parlimen, saya rasa sudah cukup syarat untuk kita mengkaji bilangan tambahan untuk kerusi-kerusi Parlimen di Sabah," katanya.