SATU ketika kisah perjalanan hidup seorang anak kampung berasal dari Temerloh menakluk Putrajaya dan bergelar Perdana Menteri Malaysia Kesembilan menjadi kebanggaan ramai.
Bermula dengan kerjaya sebagai peguam, beliau masuk ke dunia politik lalu menceburi pentadbiran kerajaan, memegang pelbagai jawatan termasuk menteri dan juga timbalan perdana menteri sebelum akhirnya dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara pada 21 Ogos 2021.
Sepanjang pentadbirannya, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, berkat pengalaman hidup beliau sebagai anak seorang penoreh getah yang sinonim dengan kemiskinan serta jerih perih kehidupan.
Menjadi seorang pemimpin ketika Covid-19 masih membelenggu negara ternyata bukan satu tugas mudah, tetapi Ismail Sabri berjaya membuktikan kemampuan diri menangani situasi tri-krisis iaitu krisis ekonomi, kesihatan dan politik.
Malah beliau yang diberi gelaran ‘Pak Long’ pada ketika itu, telah banyak berjasa terutama kepada golongan rentan dan amat memerlukan dalam mendepani impak pandemik Covid-19.
**media[2797223]**
Antara ‘produk’ dan sumbangan beliau termasuk dasar Keluarga Malaysia, insentif bantuan kewangan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 serta banyak lagi bantuan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.
Beliau juga membuat dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pindaan Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak dan Perkara 49(A) berkaitan Akta Anti Lompat Parti.
Namun panas disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, legasi pemerintahan Ismail Sabri hanya mampu bertahan selama 14 bulan, paling singkat dalam sejarah pentadbiran negara susulan pembubaran Parlimen.
Dianggap antara Perdana Menteri paling proaktif melaksanakan pelbagai reformasi institusi dan Parlimen termasuk kemampuan mendapatkan sokongan blok pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, jasa Ismail Sabri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat semakin di pandang sepi parti sendiri.
Situasi malang itu turut mendapat perhatian beberapa pemimpin politik tempatan terutama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Dalam hantaran di Facebook, beliau memuji kemampuan Ismail Sabri yang berjaya merealisasikan pelbagai reformasi pentadbiran dan institusi kerajaan biarpun menduduki tampuk kerusi Perdana Menteri dalam masa paling singkat.
**media[2797225]**
Biar pun seolah-olah di 'peti sejuk' UMNO, Pensyarah Perhubungan Awam Kerajaan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad percaya Ismail Sabri masih mempunyai tempat dalam UMNO atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bera.
“Sebagai penyandang kerusi Bera, beliau boleh dianggap aset parti sekali gus penting untuk kekal dalam radar politik nasional dan Melayu terutama menerusi keutuhan sokongan akar umbi di kawasan Parlimen tersebut.
“Satu sahaja sebab mengapa Ismail Sabri kelihatan seolah disisih dan tidak menonjol adalah kerana buat masa ini, mungkin UMNO melihat beliau tidak sesuai diberikan sebarang peranan berikutan pernah bersama kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional),” katanya kepada Sinar Premium.
Menurut Syahruddin, UMNO kini mempunyai perancangan dan hala tuju berbeza bersama Kerajaan Perpaduan dan posisi Ismail Sabri digantikan oleh parti atas sebab keperluan taktikal semasa.
“Ternyata pucuk pimpinan parti telah membentuk satu pasukan baru sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi memastikan gerak kerja UMNO di peringkat parti dan kerajaan adalah selaras dengan keperluan status quo dimuktamadkan oleh Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi.
“Sudah pasti regim kepimpinan UMNO sekarang tidak mahu dibayangi dengan barisan kepimpinan parti yang pernah dilabel pro parti musuh ketat mereka, PN sebelum ini," katanya.
Syahruddin bagaimanapun mengakui Ismail Sabri masih berpeluang membuat kemunculan semula dan mendaki puncak kuasa dalam politik dan parti kesayangannya, UMNO.
“Sokongan akar umbi dan pengaruhnya di Parlimen Bera masih kuat malah kekal dengan kemenangan majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan apa yang penting, beliau kekal sebagai penyandang untuk tempoh lima penggal.
“Penampilan berterusan dalam media arus perdana dan media sosial serta aktiviti turun padang secara konsisten ke kawasannya juga berupaya mengangkat semula potensinya sebagai pemimpin UMNO di peringkat tertinggi,” katanya.
TIDAK SEALIRAN
**media[2797224]**
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara Kedah, Firdaus Ramli pula berpendapat, menjadi kelaziman dalam UMNO untuk menolak dan menyisihkan pemimpin atau tokoh dilihat tidak sealiran dengan kepimpinan utama parti.
“Situasi ini bertambah parah apabila wujud pelbagai kluster atau kelompok menyumbang kepada perpecahan dalam parti.
“Ismail Sabri juga menjadi mangsa naratif 'bukan orang parti' yang telah disebarkan oleh kelompok tertentu dalam parti dan ini menjadi antara faktor penyumbang beliau disisihkan oleh sebahagian pemimpin dan ahli parti,” katanya.
Menurut Firdaus, majoriti pemimpin yang telah disisihkan atau dikeluarkan dari UMNO melihat peluang untuk kembali aktif dalam parti adalah kabur.
“Ini kerana mereka telah dilabelkan 'orang bukan parti' dan tidak sealiran dengan kepimpinan utama pada masa ini.
“Walaupun beberapa kenyataan telah dikeluarkan oleh beberapa pimpinan parti yang sedia menerima kembali kumpulan ini, tetapi realiti memperlihatkan keadaan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, jika amalan melabel pemimpin atau ahli dengan gelaran atau kluster tertentu berterusan, ia mengakibatkan pemimpin atau ahli berkaliber dan berkebolehan keluar meninggalkan parti.
“Ini akan merencatkan usaha UMNO untuk kembali ke puncak kuasa dan seterusnya membentuk kerajaan tanpa bekerjasama dengan parti atau gabungan lain.
“UMNO seharusnya memperkasakan parti dan apa yang utama bagi sesebuah parti ialah membina perpaduan dalam kalangan ahli terlebih dahulu sebelum meyakinkan pengundi untuk memilih parti tersebut dalam pilihan raya,” katanya.