SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) kalah dengan majoriti lebih 3,000 undi kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu kerana pelbagai faktor dalaman dan luaran termasuklah 'cah keting' atau sabotaj oleh penyokong sendiri.
Malah, ramai penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan kurang berpuas hati, kecewa dan marah kerana pucuk pimpinan parti berkenaan memberi 'lampu hijau' kepada bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, untuk menjadi calon hibrid PN dalam PRK DUN Nenggiri.
Akibatnya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika terdapat kira-kira 2,000 pengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, terutama penyokong Bersatu tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap pemilihan Mohd Rizwadi.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, kekalahan PN juga membuktikan bahawa memang wujudnya protes senyap dalam kalangan penyokong Bersatu berikutan pemilihan Mohd Rizwadi sebagai calon PRK DUN Nenggiri.
Perkara itu juga memperkukuhkan dakwaan hampir 500 ahli Bersatu dari 12 cawangan di DUN Nenggiri diketuai Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang Che Ariffin Hussin bertindak keluar parti kerana tidak berpuas hati keputusan pucuk pimpinan PN terbabit.
“Tindakan meletakkan calon hibrid membolehkan UMNO menggunakan isu terbabit sebagai senjata dan naratif bahawa Pas berbuat demikian kerana tidak percaya kepada Bersatu selepas bekas penyandang kerusi DUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, berpaling tadah menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Oleh sebab itulah PN terpaksa memilih bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang yang keluar parti dan menyertai Bersatu untuk menjadi calon PN.
“Malah, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa sendiri mengakui terdapat lebih 2,000 pengundi putih PN tidak keluar mengundi pada hari pengundian PRK Nenggiri kerana sebab tertentu, pada Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
**media[2771246]**
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan PRK DUN Nenggiri menyaksikan Mohd Azmawi, menang dengan majoriti 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi menewaskan Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, BN juga berjaya menawan kembali kubu kuatnya kerana UMNO bijak mengawal pelbagai isu seperti dibangkitkan pemimpin PN semasa kempen PRK Nenggiri.
Ini termasuklah isu kenaikan harga barang, kos sara hidup, penyasaran harga diesel dan 'BlackRock' yang digunakan semasa PRK Sungai Bakap, namun gagal dimanipulasikan oleh pemimpin Pas dan Bersatu dalam kempen PRK Nenggiri kali ini.
Berikutan itu, isu berkenaan tidak menjadi suatu gelombang untuk mempengaruhi lebih 20,000 pengundi di DUN Nenggiri terutama anak muda dan orang Melayu supaya terus menyokong PN seperti berlaku dalam PRN, sebelum ini.
“UMNO berjaya memisahkan antara isu dimainkan pemimpin PN semasa PRK Sungai Bakap dan Nenggiri.
"Jadi majoriti pengundi di Nenggiri lebih banyak dipengaruhi oleh isu tempatan seperti kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas menyelesaikan masalah pemilikan tanah Orang Asli di kawasan terbabit.
“Justeru itu, biarpun pemimpin PN menggunakan isu diesel dan BlackRock, namun ia tidak berkesan dan kurang menarik hati pengundi berbanding masalah pemilikan tanah, pembalakan dan pencemaran air sungai akibat kelulusan konsesi pembalakan oleh kerajaan negeri yang lebih dekat dengan hati rakyat tempatan,” katanya.
Mazlan berkata, masyarakat Nenggiri juga melihat BN mempunyai akses kepada Kerajaan Persekutuan yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik terutama dari aspek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi pada masa depan.
**media[2771248]**
TIGA FAKTOR UTAMA
Pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, tiga faktor utama yang mempengaruhi pengundi ialah parti, calon dan isu.
Dalam kes Nenggiri, kata Mohd Yusri, pemilihan Awie sebagai calon memberi kredit besar kepada parti mewakili Kerajaan Perpaduan kerana beliau adalah seorang anak muda yang berwibawa sama ada dari segi kelulusan akademik, kerjaya, pembabitan dalam politik mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Mohd Yusri berkata, Awie juga memiliki kemahiran komunikasi dan kemahiran interpersonal yang baik untuk berinteraksi dengan pelbagai latar belakang pengundi.
**media[2771218]**
“Faktor ini berjaya menjadi daya penarik untuk mendapat sokongan, termasuk daripada segmen anak muda.
"Ini dibuktikan apabila sebahagian besar saluran pengundi muda memberi kemenangan kepada beliau pada Sabtu,” katanya.
Tambah Mohd Yusri, kemenangan itu juga memberi banyak kesan positif termasuklah suara pembangkang menjadi semakin kuat di DUN Kelantan untuk meningkatkan lagi fungsi semak dan imbang.
INFO - Keputusan 6 pilihan raya DUN Nenggiri:
PRK2024 (BN-menang)
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) - 9,091 undi
Mohd Rizwadi Ismail (PN) - 5,739 undi
*majoriti - 3,352 undi
PRN2023 (PN-Pas menang)
Mohd Azizi Abu Naim (Pas) - 6,517 undi
Ab Aziz Yusoff (BN) - 5,707 undi
*majoriti - 810 undi
PRN 2018 (BN menang)
- Ab Aziz Yusoff (BN) - 5,506 undi
- Mohd Sidek @ Mohd Saupi Abd Razak (Pas) - 5,045 undi
- Othman Yusoff (PH) - 788 undi
*majoriti - 461 undi
PRN 2013 (BN menang)
- Mat Yusoff Abd Ghani (BN) - 6,654 undi
- Mohammad Azihan Che Seman (PKR) - 2,805 undi
- Abdul Aziz Mohamed (Bebas) - 368 undi (hilang deposit)
*majoriti - 3,849 undi
PRN 2008 (BN menang)
- Mat Yusoff Abd Ghani (BN) - 4,543 undi
- Mohd Zuki Ibrahim (PKR) - 2,453 undi
*majoriti - 2,090 undi
PRN 2004 (BN menang)
- Mat Yusoff Abd Ghani (BN) - 4,516 undi
- Mohd Zain Muhammad (PKR) - 1,831 undi
*majoriti - 2,685 undi
**media[2771623]**
Ringkasan berita:
- Kekalahan PN: PN kalah dalam PRK DUN Nenggiri dengan majoriti lebih 3,000 undi kepada BN.
- Faktor Kekalahan: Disebabkan faktor dalaman seperti sabotaj penyokong sendiri dan rasa tidak puas hati terhadap calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.
- Protes Senyap: Kira-kira 2,000 pengundi PN tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.
- Isu Lokal: BN berjaya mengatasi isu nasional yang dimainkan PN dengan fokus pada isu lokal seperti pemilikan tanah dan pencemaran sungai.
- Kekuatan Calon BN: Calon BN, Mohd Azmawi, menarik sokongan pengundi muda dan berjaya menawan kembali kubu kuat BN.
- Akses kepada Kerajaan: Masyarakat melihat BN lebih mampu memberi akses kepada pembangunan dan infrastruktur yang lebih baik.
Dijana oleh AI