SHAH ALAM - Kawasan Gua Musang yang dianggarkan berkeluasan dua kali ganda negeri Melaka wajar dipecahkan kepada dua Parlimen sahaja setelah mengambil kira jumlah pengundi semasa.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kawasan berkenaan tidak sesuai dipecahkan kepada tiga Parlimen seperti yang dicadangkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Katanya, kawasan tersebut ketika ini mempunyai anggaran pengundi seramai 72,000 orang dengan pembangunan begitu besar dalam bentuk muka bumi yang sudah berubah.
“Bagi Parlimen luar bandar seperti Gua Musang, saya rasa ada 32,000 hingga 35,000 pengundi sudah memadai.
“Jika Gua Musang dipecahkan kepada dua Parlimen, satu Parlimen kita jadikan dua Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi, kita pecahkan Nenggiri iaitu satu DUN Nenggiri dan satu DUN baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, jika SPR mahu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi, mereka boleh jadikan Nenggiri sendiri sebagai Parlimen.
“SPR buat satu DUN baharu bawah Parlimen, ada antara 15,000 hingga 17,000 pengundi pun tidak mengapa sebab ia kawasan luar bandar. Banyak DUN di Sabah dan Sarawak pun ada sekitar 17,000 pengundi sahaja,” ujarnya.
Jelas Wan Ahmad, memecahkan kawasan Gua Musang itu memberi peluang kepada wakil rakyat untuk memantau kawasan dan membawa pembangunan kepada pengundi.
“Saya rasa SPR pun sudah fikir tentang perkara itu (pecah kawasan) dalam tempoh lapan tahun kajian semula persempadanan. Ini kerana telah banyak perubahan yang berlaku,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Wah Ahmad berkata, secara umumnya antara faktor yang mempengaruhi perpecahan kawasan pengundian adalah keluasan kawasan yang terlalu besar.
“Selain itu, bilangan penduduk yang semakin bertambah juga antara faktor yang perlu diambil kira.
“Faktor ketiga adalah kewujudan kawasan-kawasan pembangunan baharu seperti contoh Gua Musang yang telah berkembang menjadi sektor perladangan,” katanya.
Pada Khamis, Ahmad Maslan mengesyorkan kepada SPR untuk memecahkan Gua Musang kepada tiga Parlimen sebagai usaha mengecilkan kawasan DUN Nenggiri yang terlalu luas.
Cadangan berkenaan untuk memudahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjaga kawasan dan menjalankan tugas kerana keluasan Nenggiri dianggarkan dua kali ganda negeri Melaka.