'UMNO mungkin sudah lenyap jika bersama Bersatu, PN' - Khaled Nordin

PASIR GUDANG - UMNO mungkin tidak ada lagi hari ini jika memilih untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan UMNO bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dilihat tepat menerusi pembentukan jajaran politik baharu tanah air.

Malah katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga dilihat tidak menggadaikan prinsip dan nilai perjuangan UMNO yang didukung sejak penubuhannya.

“Semua pihak dalam UMNO di negeri ini perlu faham parti itu diasaskan daripada perjuangan kebangsaan yang berjaya memberikan kemerdekaan dan membawa pembangunan di negara ini.

“UMNO adalah parti yang berasaskan perjuangan nasionalisme dan bukan perjuangan untuk negeri dan tidak sekali-kali meminggirkan atau meninggalkan perjuangannya walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam Kabinet kita akan cakap terus terang, boleh kita kata boleh, tidak boleh kita kata tidak boleh," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Seri Alam di sini, pada Sabtu.

**media[2742460]**

Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas usul dari beberapa UMNO bahagian di negeri ini antaranya di Tenggara dan Kluang yang mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan PH terutama DAP kerana dilihat merugikan UMNO dan orang Melayu.

Dalam masa sama, Mohamed Khaled mengakui sebelum ini DAP banyak menyentuh pelbagai perkara berkenaan sensitiviti orang Melayu tetapi sekarang tidak lagi.

Ini kerana menurutnya, DAP perlu berfikir banyak kali sebelum membuat kenyataan kerana sudah bersama-sama UMNO dalam kerajaan.

"Saya ingat kita tidak boleh kembali semula untuk 30, 50 atau 60 tahun lagi, kita tidak akan ke mana dan akan lenyap daripada politik tanah air, kena ingat itu.

"UMNO nak keluar (daripada Kerajaan Perpaduan) macam kuat sangat," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor tidak seharusnya hanya memberikan tumpuan untuk menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja bagi untuk membolehkannya menjadi kerajaan negeri.

Katanya, UMNO Johor juga harus memberikan fokus terhadap kerusi Parlimen supaya parti tersebut turut berkuasa di peringkat Pusat.

"Kita tidak boleh hanya berfikir (penguasaan politik di) Johor sahaja. Mungkin kita menang di peringkat DUN di Johor, tapi dalam masa sama kita boleh fikir untuk pergi ke setengah-setengah bahagian untuk kita (membuat usul) tidak bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

"Tetapi kalau Johor sahaja Barisan Nasional (BN) menang tetapi di negeri lain semua kita kalah, kita tidak akan ada langsung penyertaan (wakil dalam kerajaan) di peringkat kebangsaan atau di peringkat Pusat," katanya.