PRK Nenggiri: BN gerak jentera ikut undang-undang

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) mula menggerakkan jentera parti dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang dibenarkan oleh undang-undang bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata, parti itu berusaha melakukan perubahan bagi meraih sokongan rakyat di DUN itu.

“Ketika ini jentera parti sedang melakukan perubahan dan menggunakan pelbagai pendekatan yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Ini bagi untuk pastikan pengundi-pengundi di sana dapat memberi kemenangan kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kubang Kerian di Dewan UMNO negeri Kelantan, di sini, pada Sabtu.

**media[2742218]**

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan rakyat dapat memberi kepercayaan kepada parti itu selain kemenangan mereka akan dapat membantu pembangunan kawasan setempat.

“Saya berhadap rakyat akan memberi kepercayaan BN.

“Kerajaan melalui BN khususnya UMNO akan untuk berbakti kepada rakyat dalam semua soal terutama berkaitan pembangunan,” katanya.

BN mempertaruhkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang merangkap Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mereka di PRK DUN Nenggiri.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.