'Sumbangan syarikat arak tak wajar jadi dana sekolah' - Majlis Ulama UMNO

SHAH ALAM - Isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, terus mendapat bantahan dan terbaharu daripada Majlis Ulama UMNO (MUU).

MUU menegaskan, syarikat yang terlibat dengan aktiviti dikategorikan memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber sumbangan bagi mana-mana pusat pendidikan negara.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh anak-anak, pelajar dan juga masyarakat sivil yang baik.

"Ini juga selaras dengan surat pekeliling KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) bertarikh 29 Mac 2018, yang menyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tata cara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"Merujuk kepada kehadiran timbalan menteri dalam program seumpama itu, difahamkan ia berlaku kerana salah faham dan timbalan menteri berkenaan telah memohon maaf atas kekhilafan.

"Namun, MUU berharap ia tidak akan berulang lagi kepada mana-mana pemimpin kerajaan kerana ia akan memberi mesej yang salah kepada rakyat bahawa berlaku normalisasi terhadap penerimaan dana daripada aktiviti seperti ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada majlis itu.

Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Beliau turut memohon maaf atas insiden berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu kekhilafan.