UMNO kunci terakhir Pas tawan Putrajaya

SPEKULASI kerjasama UMNO dan parti serpihannya, Pas sebenarnya sudah menjadi buah mulut sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein lagi.

Sudah tertulis dalam sejarah inisiatif penubuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974 sewaktu zaman pentadbiran Abdul Razak di mana Pas bersetuju untuk menyertai koalisi digagaskan UMNO itu.

Bagaimanapun, hubungan dua parti utama Melayu itu sangat unik dan perseteruan antara mereka membawa kepada permasalahan perpecahan kaum Melayu yang kronik, namun ada masanya kebersamaan mereka menukilkan sejarah bermakna buat kaum pribumi itu.

Sebagai contoh, apabila berlaku budaya takfiri yang kuat sehingga mencetuskan perpecahan antara penyokong Pas dan UMNO susulan kontroversi ‘Amanat Haji Hadi’ pada tahun 1981.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila majlis tandatangan piagam Muafakat Nasional (MN) pada tahun 14 September 2019.

Ia menyaksikan kebangkitan gelombang MN yang dianggap majoriti pemerhati politik tempatan sebagai antara pemangkin kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada Mac 2020.

Kini, MN hanya tinggal sejarah. Walaupun tidak terbubar secara rasmi, namun ramai pemimpin UMNO menganggap kerjasama politik MN berakhir setelah BN bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan diketuai PH pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Lebih-lebih lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengesahkan parti itu dan BN akan meneruskan kerjasama politik dengan PH pada PRU16.

Beliau turut menegaskan UMNO tidak akan sesekali mengadakan rundingan kerjasama dengan Pas selagi mana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih mengemudi parti itu.

Justeru, apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan desas-desus partinya telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pemimpin UMNO bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik PRU16, berita itu mencetuskan pelbagai reaksi.

Bagi sebilangan pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin sendiri, pintu kerjasama UMNO-Pas tidak pernah tertutup. Untuk sebahagian pemimpin UMNO yang pro-Zahid pula, mereka menyifatkan spekulasi itu ‘mustahil’.

Akar umbi, pemimpin UMNO bercanggah

Bagaimanapun, suara akar umbi UMNO seolah-olah memberi reaksi sebaliknya.

Dalam mesyuarat persidangan UMNO-UMNO Bahagian yang mula berlangsung ketika ini, UMNO Bahagian Kluang menyimpulkan hubungan kerjasama parti itu dengan DAP menerusi Kerajaan Perpaduan adalah merugikan manakala UMNO Bahagian Tenggara mengusul hubungan UMNO-DAP dikaji.

Berikutan itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpandangan UMNO kini berdepan persimpangan dilema.

Senario itu jelas kelihatan susulan terdapat percanggahan ketara antara keputusan pucuk kepimpinan UMNO dengan suara hati akar umbi parti itu.

“Saya tengok perspektif hubungan UMNO-Pas ini hakikatnya memberi refleksi kepada keseluruhan landskap politik Malaysia yang berteraskan politik Melayu.

“Kita dapat lihat buat pertama kalinya keseluruhan orang Melayu bersatu di bawah payung BN apabila Pas bersetuju menyertainya pada tahun 1974, disusuli penubuhan MN yang ternyata mengukuhkan hubungan akar umbi pengundi Melayu di seluruh negara.

“Justeru, apabila timbul cerita kerjasama Pas-UMNO sebanyak beratus kali pun, berita itu tetap menjadi tarikan rakyat kerana ia melibatkan naratif politik orang Melayu,” katanya.

Mengulas percanggahan pandangan pucuk pimpinan UMNO dan akar umbi parti itu, Muhammad Asri mengakui budaya politik Melayu yang bersopan-santun hakikatnya tidak menggalakkan akar umbi menegur kepimpinan secara berdepan sebagaimana kaum-kaum lain.

Justeru, apabila Ahmad Zahid seolah-olah menggunakan kuasa veto untuk mengusulkan kerjasama BN-PH diteruskan pada PRU16, sebilangan kecil pemimpin UMNO sudah mula menyatakan ‘sindiran halus’ kepada beliau.

“Sebab itu kita sudah lihat terdapat beberapa UMNO bahagian yang mengusulkan cadangan mengkaji kerjasama UMNO-DAP.

“Suara-suara ini sebenarnya memberi mesej tersirat terdapat pemimpin UMNO yang mula mempersoalkan kedudukan Ahmad Zahid dalam parti dan Kerajaan Perpaduan.

"Mereka secara tidak langsung menyatakan halangan utama kerjasama semula UMNO-Pas adalah Ahmad Zahid,” katanya.

“Dari perspektif Pas, parti Islam itu menyedari nilai tambah yang mampu diberikan UMNO-BN dalam memastikan PN mampu menawan Putrajaya pada PRU16.

Dengan erti kata mudah, Pas mengetahui jalan pintas mereka ke puncak kuasa adalah dengan menjemput BN membentuk koalisi pilihan raya bersama PN.

“Mereka sedar PN tidak akan mampu memenangi PRU16 secara solo. Dengan momentum fenomena gelombang hijau kekal konsisten, sekiranya ada satu parti komponen lain yang berkeupayaan seperti BN menyertai Pas, itu turut menjadi tiket utama penerimaan parti-parti watan Sabah dan Sarawak terhadap mereka kelak,” kata Muhammad Asri.

Tinjauan terbuka

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menegaskan kelangsungan sesebuah parti hanya terus kekal sekiranya ia benar-benar mendengar suara hati nurani akar umbi.

Berikutan itu, dalam konteks dilema UMNO-BN mahu mengekalkan kerjasama dengan PH pada PRU16, beliau mencadangkan pucuk kepimpinan mengadakan satu tinjauan secara terbuka bagi membolehkan 3.44 juta ahli memberi maklum balas terhadap persoalan itu.

“Mengenai hasrat Pas meminang UMNO, saya kira tujuan parti itu bukan sekadar untuk menang PRU16, tetapi mereka mengambil kira gambaran masa hadapan orang Melayu yang lebih besar.

“Mereka sedar sektor ekonomi sesebuah negara tidak boleh dikuasai oleh sesebuah kaum dalam negara itu semata-mata. Situasi ini akan menimbulkan ketegangan dan ketidakpuashatian kaum majoriti.

“Di Malaysia, situasi sebegini berlaku pun disebabkan kaum Melayu dan India tidak bersatu sebagaimana kaum Cina.

“Pas sedar mereka perlu bekerjasama dengan UMNO kerana kaum Melayu perlu berfikir bagaimana kaum Cina berfikir.

“Kaum Melayu kena sokong parti yang benar-benar memberi manfaat kepada usaha penyatuan kaum,” tegasnya.