Dua projek dilaksana jika PH menang PRK Sungai Bakap - Ahmad Zahid

SUNGAI BAKAP - Dua projek bakal dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, projek tersebut ialah mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan pembinaan sekolah tamil di Sungai Bakap.

"Saya berpandangan bahawa cadangan ini harus dilaksanakan kelak (jika PH memang PRK Sungai Bakap)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil di sini pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan calon PH PRK Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kemenangan di Sungai bakap cukup penting bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga imej Kerajaan Perpaduan.

"Saya mohon agar semua pengundi dibuka hati oleh ALLAH untuk memberikan sokongan kepada calon nombor satu, Dr Joohari untuk meraih kemenangan di DUN Sungai Bakap.

"Insya - ALLAH jika beliau terpilih tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri yang juga bawah Kerajaan Perpaduan," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari bakal berentap dengan lawannya, Abidin Ismail dari Pas yang juga merupakan bekas Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff.

Ia diadakan susulan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Disebabkan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh pengundian PRK Sungai Bakap.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.