Tiada konflik antara Zahid, Tok Mat

ISU percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO tentang penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) tidak mencerminkan wujud konflik dalaman parti sehingga menjejaskan UMNO.

Malah, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, perbezaan pendapat antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan hanyalah bersifat pandangan peribadi masing-masing.

“Perkara ini hanya perselisihan pendapat antara pemimpin tertinggi. Saya percaya ia tidak mewakili suara parti dan bersifat peribadi.

“Saya juga tidak nampak ia menjadi satu masalah besar sehingga timbul konflik dalaman yang mungkin akan menyebabkan perpecahan UMNO,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Mujibu tidak menafikan bahawa perkara seperti ini akan memberikan bebanan kerana ia boleh menjadi modal kepada pihak lawan untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu perkara ini boleh dieksploitasi pihak lawan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap. Barangkali UMNO yang terpaksa menjawab isu ini.

“Parti tidak terjejas tetapi dari sudut timing, apabila seseorang individu mengeluarkan kenyataan pada masa-masa pilihan raya, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan terutamanya apabila Kerajaan Perpaduan mahu merampas kembali DUN Sungai Bakap kali ini,” katanya.

Selain itu, Mujibu berpandangan bahawa sensitiviti mengenai Palestin juga perlu dijaga ketika ini.

**media[2704469]**

“Agak sukar untuk kita mengelak sebarang penglibatan dengan Israel dan boikot yang kita lancarkan masih lagi bersifat pilihan masing-masing. Namun, Malaysia dilihat kekal tegas mempertahankan pendirian dan solidariti tentang Palestin.

“Berbalik kepada isu BlackRock, ia mengenai penentangan syarikat Israel tetapi lapangan terbang Malaysia masih dipegang oleh MAHB dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

“Walaupun isu ini masih dibincangkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membicarakan hal ini dengan jelas. Oleh itu, semua pihak diminta untuk menjaga sensitiviti dan tidak mempolitikkan perkara tersebut,” ujarnya.

Pada Isnin, Ahmad Zahid menyanggah kenyataan Mohamad Hasan bahawa UMNO mendesak Khazanah supaya tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada syarikat pro-Israel itu.

Beliau pada masa yang sama turut menegaskan bahawa kenyataan Mohamad Hassan itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili UMNO.

Katanya, pendirian UMNO tetap bersama Perdana Menteri berhubung keputusan penjualan saham MAHB kepada BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP) dan turut menolak sebarang dakwaan kononnya UMNO tidak setuju dengan keputusan tersebut.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, reaksi kedua-dua pemimpin atasan UMNO itu menunjukkan ada kebebasan untuk bersuara dan memberikan pandangan biarpun tidak senada.

“Jika sekadar percanggahan pandangan tidak mengapa kerana ia membolehkan umum melihat ada ruang keterbukaan di dalam parti. Namun, BlackRock adalah isu yang perlu diurus dengan baik untuk mengelakkan pandangan negatif darı kaça mata ahli dan lawan politik.

“Apabila wujud dua pandangan berbeza, pasti ada yang perlu dijelaskan supaya ia tidak menjadi krisis pada kemudian hari. Persetujuan bersama boleh diketengahkan untuk meluruskan apa-apa percanggahan dalaman parti,” katanya.

Sivamurugan juga berpendapat bahawa sekiranya wujud percanggahan pandangan, perkara itu menampakkan seolah-olah adanya isu komunikasi di dalam parti daripada perspektif media.

“Barangkali ada bantahan sebagaimana disuarakan oleh Mohamad Hasan tetapi Ahmad Zahid mahu melihat keputusan konsensus Kabinet yang menjadi amalan selalunya bersama pandangan Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!