Syed Saddiq lari 200km ke Parlimen, protes isu peruntukan pembangkang

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan inisiatif Langkah Muar sebagai tanda protes terhadap kerajaan berikutan menafikan peruntukan bagi Parlimen pembangkang.

Menurutnya, beliau akan berlari sejauh 200 kilometer (KM) iaitu dari Muar ke Parlimen untuk meraih dana bagi pusat khidmat raya di kawasan tersebut.

“Sudah lebih setahun kawasan Parlimen pembangkang tidak dapat peruntukan. Kawasan Parlimen kerajaan sepenggal RM20 juta tetapi pembangkang kosong.

“Kerajaan suruh runding. Saya sudah jumpa Timbalan Perdana Menteri dua kali dan sudah hantar surat tiga kali tetapi masih sama dan tiada perkembangan. Saya tidak boleh putus asa, daripada mengeluh lebih baik saya bertindak.

“Dahulu saya korbankan rambut saya dalam Fundraiser Botak Challenge, buat kelas ThunderBOLD, masak dan jual lasagna serta jadi model untuk jual kurta. Kini saya gunakan kaki pula untuk dana di Muar dan sebagai tanda protes,” katanya menerusi video yang dimuat naik di X pada Rabu.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Susulan itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau sendiri yang akan mewakili ketua pembangkang bagi menghadiri pertemuan dengan Fadillah bagi mengetahui perkembangan terkini status peruntukan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!