Tun M nafi pernah ugut pecat Guan Eng

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau pernah mengugut untuk memecat Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Dr Mahathir berkata, beliau sudah pasti menghormati kedudukan Guan Eng sebagai ketua DAP yang ketika itu merupakan ahli gabungan kerajaan.

"Saya tidak pernah mengugut untuk memecat Guan Eng. Itu adalah pembohongan yang terang-terangan.

"Beliau adalah ketua DAP, ahli gabungan, saya mesti menghormati kedudukannya. Satu-satunya menteri yang saya gugurkan ialah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Guan Eng mendakwa Dr Mahathir cuba untuk memecatnya sebanyak tiga kali di hadapan Kabinet ketika beliau Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan pada 2018.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, mendakwa Dr Mahathir bertindak demikian disebabkan keazaman beliau untuk melaksanakan langkah-langkah yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH 2018.

Kenyataan itu dimuat naik bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan sebagai maklum balas terhadap buku bertajuk Shattered Hopes ditulis Romen Bose yang mengupas peristiwa politik Malaysia pasca 2018.

Tambah Dr Mahathir, beliau terkejut dengan komen Guan Eng mengenainya ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Katanya, ini kerana adalah perkara biasa bagi mereka untuk membincangkan isu-isu besar memandangkan ketika itu Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

"Saya fikir dia dan saya bekerjasama dengan baik.

"Selepas mendengar pandangan saya, perkara itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk menteri mengulas cadangan itu. Hanya selepas keputusan Kabinet barulah perkara itu dikemukakan di hadapan Parlimen untuk diputuskan sama ada meluluskan atau tidak, begitulah cara kerajaan bekerja," jelasnya.

Menurut Dr Mahathir, Walaupun janji dibuat dalam manifesto, Kabinet tidak boleh menjadi setem sahaja.

Beliau memberi contoh, manifesto hanya mencadangkan pemansuhan tol dan itu adalah mudah tetapi lebuh raya perlu diselenggara dan kadangkala lorong tambahan perlu dibina.

"Kerajaan tidak mempunyai wang untuk membina jalan raya, mengekalkan lebuh raya sepanjang 800 kilometer memerlukan kos yang tinggi. Jika tiada kutipan tol, kerajaan atau syarikat tidak akan dapat menyelenggara lebuh raya kelas pertama ini.

"Akhirnya kabinet yang memutuskan, bukan Perdana Menteri sahaja, Menteri Kewangan ada bersuara. Jika kabinet bukan untuk menghapuskan tol, maka tol tidak boleh dihapuskan," katanya.

Dalam masa sama, Dr Mahathir memberitahu beliau juga tidak bercadang untuk mengharamkan UMNO.

Katanya, beliau memang ada memberitahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO yang dipimpinnya bukanlah yang mengalahkan Malayan Union dan memenangi kemerdekaan untuk negara.

"Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengubah UMNO menjadi parti itu rasuah. Saya memberitahu Zahid bahawa UMNO kalah sebab orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO.

"Saya telah bekerja dengan ramai orang sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri keempat. Saya ingin mendengar daripada orang lain mengenai tingkah laku saya terhadap mereka," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!