Peruntukan untuk pembangkang bukti tohmahan kepada PM tidak benar

SHAH ALAM - Persetujuan Kerajaan Perpaduan untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang membuktikan segala tohmahan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, amalan memberi peruntukan kepada pembangkang sebenarnya sudah lama dilaksanakan iaitu sejak 2008 apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat pertama kali menjadi kerajaan di Selangor selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) ketika itu.

Katanya, sebelum itu parti pembangkang tidak diberikan peruntukan namun bermula 2008 ia telah diubah sekali gus menunjukkan perkara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ditepati.

“Jadi hari ini terbukti segala tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan adalah tidak benar. Beri peluang kepada Perdana Menteri sehingga habis penggal dan dalam masa sama pembangkang perlu memainkan peranan mereka sebagai semak dan imbang.

“Peruntukan ini boleh disalurkan di kawasan masing-masing, kita rasa peruntukan kepada rakyat dan seharusnya dipulangkan kepada rakyat. Bukannya digunakan untuk perkara lain contohnya macam beli kereta, sebab pernah berlaku kerajaan persekutuan bagi bajet ada negeri yang beli untuk exco pada masa tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pula berkata, tindakan tersebut merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak kerajaan.

“Sudah tentu, pasti ada perjanjian persefahaman yang perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak demi kebaikan rakyat.

“Harapan saya supaya tiada lagi gerakan-gerakan politik yang cuba menggugat keabsahan kerajaan perpaduan. Sekarang masa untuk bekerja, bukan lagi membuat move sana sini lagi,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!