Sultan dukacita: Kenyataan Abdul Hadi bersifat peribadi

SHAH ALAM - Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menyelesaikan isu perutusan surat titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan rasa dukacita terhadap beliau baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas tidak wajar dilibatkan dalam polemik itu memandangkan kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Marang itu adalah pandangan peribadi dan tidak merujuk pendirian parti secara keseluruhan.

Justeru, pihaknya meminta semua pihak mendapat rujukan balas daripada Pejabat Presiden Pas sendiri dalam merungkai penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan.

"Kenyataan Tuan Guru (Abdul Hadi) adalah bersifat peribadi.

"Justeru, media kena rujuk dengan Pejabat Presiden Pas atau Tuan Guru sendiri untuk dapatkan respons balas mengenainya.

"Saya kira kenyataan itu (dikeluarkan Abdul Hadi) bukan merujuk pendirian Pas secara keseluruhan.

"Jadi, Pas tidak boleh beri sebarang komen lanjut," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian bagi mengulas lanjut polemik titah Sultan Sharafuddin yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Abdul Hadi yang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar turut menyokong pandangan Ahmad Fadhli menegaskan parti tidak campur tangan dalam urusan peribadi di antara Abdul Hadi dan Istana Selangor.

"Kita tidak dapat ulas lanjut.

"Ini kerana kenyataan dikeluarkan Tuan Guru Haji Hadi mungkin mempunyai inti pati atau makna tersendiri.

"Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden Pas untuk memberi respons balas terhadap titah baginda Sultan Selangor," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28