Wan Junaidi ada 'pakej lengkap' jadi TYT Sarawak

SHAH ALAM - Tokoh akademik menyambut baik jika bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Pensyarah Kanan Pembangunan Manusia dan Politik Identiti, Pusat Penataan Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, pelantikan Wan Junaidi selaku TYT Sarawak kekal sebagai spekulasi kerana sehingga kini bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu belum menerima sebarang surat pengesahan rasmi daripada Kerajaan Madani.

Romzi berkata, pemilihan Wan Junaidi tepat kerana beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan terdahulu seperti Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri (16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015) serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018).

Malah, pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik pula sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum diberi kepercayaan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

"Bagi saya pelantikan Wan Junaidi memang wajar kerana beliau bukan hanya rapat dengan rakyat dan kerajaan negeri, malah mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan hingga dilantik sebagai Speaker Dewan Negara selepas bersara daripada arena politik dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Biarpun, banyak nama tokoh yang turut disebut bakal pengganti Abdul Taib, namun secara peribadi dan majoriti rakyat Sarawak lebih senang jika Wan Junaidi dipilih sebagai TYT Sarawak yang baharu," katanya kepada Sinar Premium.

Romzi berkata demikian ketika mengulas spekulasi peletakan jawatan Wan Junaidi sebagai Speaker Dewan Negara bagi membuka laluan kepada beliau untuk dilantik selaku TYT Sarawak baharu menggantikan Abdul Taib, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan reaksi Wan Junadi, gagal apabila bekas Ahli Parlimen Santubong dan Ahli Parlimen Batang Lupar itu tidak memberi maklum balas sejak laporan peletakan jawatannya tersebar petang Jumaat.

Abdul Taib, 88, yang memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 32 tahun sejak 1981 mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-7 pada 1 Mac 2014.

Dalam pada itu, Romzi berkata, terdapat juga cadangan supaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai pengganti Abdul Taib namun beliau percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong tidak akan menerimanya kerana perjalanan dalam politik masih jauh dan banyak lagi misinya belum tercapai.

Berikutan itu, Romzi berkata, beliau percaya pelantikan Wan Junaidi amat bermakna bagi rakyat Sarawak kerana amat memahami pelbagai isu termasuk MA63 atau Perjanjian Malaysia 1963 yang hangat diperkatakan sebelum ini.

**media[2507001]**

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir menegaskan majoriti rakyat Sarawak di pelbagai peringkat umur, kaum dan agama menyambut baik jika Wan Junaidi dilantik sebagai TYT Sarawak kerana bekas Ahli Parlimen Sentubong itu mempunyai ketokohan dan pengalaman yang tiada pada pemimpin politik lain.

"Antara sebab kenapa Wan Junaidi menjadi pilihan majoriti rakyat Sarawak adalah kerana ketokohan, pengalaman, kewibawaan dan integriti tinggi serta kemesraan ditunjukkan beliau dengan semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun taraf pendidikan seseorang itu sendiri.

"Wan Junaidi juga mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan," katanya.