SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) bakal berdepan nasib seperti Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) yang dilihat umpama 'hidup segan mati tak mahu' sekiranya mereka masih tidak mengubah agenda, pendekatan dan hala tuju perjuangan parti.
Parti Hamim dan Berjasa merupakan antara parti-parti berteraskan Islam serpihan Pas di negara ini yang pernah memberi impak kepada landskap politik negara di awal penubuhan kerajaan Malaysia sehingga tahun 1990-an.
Bagaimanapun, pengaruh kedua-dua parti itu dilihat semakin merosot dengan Hamim dan Berjasa dilihat gagal memenangi sebarang kerusi pilihan raya sejak lebih tiga dekad lalu.
Berikutan itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan Amanah perlu kembali kepada landasan asas perjuangannya dengan menjadikan ideologi utama parti berteraskan konsep 'Rahmatan Lil Alamin' dan tidak berpaksikan politik identiti semata-mata.
Jelasnya, tindakan itu perlu bagi memastikan Amanah bukan hanya dihormati oleh parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan DAP, malah koalisi Kerajaan Perpaduan lain termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.
"Jika Amanah gagal melakukan perubahan dan transformasi bagi menarik hati pengundi terutama generasi muda dan kaum Melayu Islam, mereka mungkin akan menerima nasib sama seperti Berjasa dan Hamim yang kini hanya tinggal nama tetapi sudah tidak relevan dengan arus politik perdana di Malaysia sekarang," katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
Untuk rekod, Hamim ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh Tan Sri Dr Asri Muda, mantan Presiden Pas yang meninggalkan parti itu pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan Pas merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam PRU1982.
Manakala, Berjasa yang kini dipimpin oleh Zamani Ibrahim pula merupakan satu lagi parti serpihan Pas diasaskan mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Muhamed Nasir pada tahun 1977 setelah beliau disingkirkan daripada Pas.
Justeru itu, Mazlan menjelaskan lebih 1,100 perwakilan yang menghadiri Konvensyen Nasional Amanah 2023 perlu memilih gabungan muka lama dan baharu yang berkaliber, berpengalaman luas serta berwajah segar bagi memegang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ketua sayap dalam pemilihan parti Sabtu dan Ahad ini.
**media[2472597]**
Mazlan berkata, biarpun Amanah perlu melaksanakan transformasi kepimpinan parti, pengalaman pemimpin lama berpengaruh seperti Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (Naib Presiden); bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
"Perwakilan juga perlu memberi peluang kepada muka baharu dan watak lebih segar seperti ADUN Seri Serdang, Abbas Salimi; ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminur Rashid; Ketua Amanah Tanjong Malim, Khairol Najib Hashim, Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu; ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Naib Ketua Ketiga Wanita Muda Amanah (WARDA), Siti Nur Aishah Mohd Zain menjadi sebahagian daripada AJK Nasional Amanah.
"Proses transformasi dan peremajaan penting demi memastikan pengundi Melayu Islam kembali menyokong koalisi Kerajaan Perpaduan selepas mereka beralih undi kepada Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
"Perubahan pucuk pimpinan juga perlu kerana kepimpinan Amanah baharu kelak harus mampu memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.